Pakar ingatkan orang ramai waspada peningkatan kes Covid-19


Ravin Palanisamy

Kelonggaran SOP, kemunculan varian baharu, pergerakan manusia dan sikap orang ramai yang memandang ringan jangkitan Covid-19 antara penyebab kes semakin meningkat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 April, 2023.

RAKYAT Malaysia masih perlu berhati-hati dengan pandemik Covid-19 kerana kes boleh terus meningkat jika langkah berjaga-jaga tidak diambil, kata pakar kesihatan.

Ketika peningkatan jumlah kes, mereka berkata beberapa ia berlaku antaranya kelonggaran prosedur operasi standard (SOP), kemunculan varian baharu, pergerakan manusia dan sikap orang ramai terhadap Covid-19.

Pakar epidemiologi Dr Vinogiri KS berkata orang ramai memandang ringan Covid-19 tanpa sebarang kebimbangan mengenai tahap keterukan yang boleh dibawa.

“Mereka tidak mengamalkan langkah ketat untuk keselamatan diri sendiri,” kata Vinogiri kepada The Malaysian Insight.

“Ketika ‘peralihan ke endemicity’ kita berhenti mengikuti langkah keselamatan. Sangat sedikit yang melakukan ujian kendiri walaupun mempunyai simptom, malah ada yang tidak melakukannya.

“Mereka yang jahil menyebarkan jangkitan. Mereka harus tahu tahap keterukan Covid-19 berbeza antara satu orang dengan yang lain.”

Vinogiri berkata angka Covid-19 yang dimuat naik oleh Kementerian Kesihatan (KKM) hanyalah daripada mereka yang melaporkannya, sambil menambah ramai yang sebenarnya tidak akan memaklumkan keputusan mereka di MySejahtera atau ke hospital.

“Terdapat banyak kes tidak didokumentasi kerana orang ramai tidak melaporkan,” katanya.

Menjelang musim perayaan, Malaysia menyaksikan peningkatan dalam jangkitan harian.

Sepanjang minggu lalu, kes berlegar sekitar 700 setiap hari, meningkat daripada julat standard 200 hingga 300 setiap hari.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerusi laporan bulanan menunjukkan jumlah jangkitan Covid-19 meningkat hampir 481% di Asia Tenggara.

Bagaimanapun, KKM berhenti mengemas kini angka harian di portal itu pada 8 April. Tiada alasan diberikan.

Vinogiri juga berkata kemunculan sub-varian dan penyebarannya juga menjadi mudah sekarang dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa.

“Adalah banyak subvarian yang tersebar di kebanyakan bahagian dunia dan kini tanpa sebarang sekatan (untuk ujian sebelum dan semasa ketibaan) orang ramai hanya keluar masuk.

“Sesetengah daripada sub-varian tidak akan mempunyai simptom biasa. Jadi, pembawa tidak akan tahu dan mereka menyebarkannya,” katanya.

Beliau berkata orang ramai harus terus mengamalkan langkah keselamatan sedia ada, terutamanya dalam kumpulan berisiko tinggi.

“Golongan berisiko tinggi termasuk warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi perlu memastikan langkah keselamatan itu terus diamalkan walaupun oleh ahli keluarga mereka.

“Masyarakat pada masa kini berpendapat Covid-19 boleh dirawat dan mereka dilindungi oleh vaksin tetapi mereka perlu tahu mereka yang divaksin pun dijangkiti dan tewas kepada penyakit mereka, walaupun jumlahnya kurang,” katanya.

Sementara itu, Pakar Virologi Universiti Putra Malaysia Profesor Madya Dr Chee Hui Yee berpendapat pergerakan manusia dan musim perayaan berkemungkinan mengakibatkan peningkatan jangkitan.

“Bazar Ramadan, melancong dalam dan luar negara semasa cuti sekolah dan sambutan Ching Ming, Tahun Baharu Tamil dan lain-lain boleh menyebabkan peningkatan kes,” katanya.

Chee juga memberi amaran tentang sub-varian Omicron yang lebih mudah ditularkan, XBB.1.16.

“Menurut data Global Initiative on Sharing All Influenza Data (GISAID), Malaysia merekodkan 13 kes XBB.1.16 sejak 23 Mac.

“Dan majoriti varian ialah XBB.1 dan XBB.1.19.1,” katanya.

Chee menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka apabila perlu, terutamanya jika mereka mempunyai simptom.

Beliau juga menggesa mereka yang mempunyai simptom segera menjalani ujian untuk virus itu. – 18 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen