Kes Covid-19 di Asia Tenggara naik 481% dalam sebulan, kata WHO


Kenaikan tertinggi kes Covid-19 dilaporkan di Nepal dengan peningkatan sebanyak 1,198%, iaitu daripada 49 kepada 636 kes baharu, menurut WHO. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 April 2023.

JUMLAH jangkitan Covid-19 meningkat hampir 481% di Asia Tenggara dan 144% di Wilayah Mediterranean Timur dalam tempoh sebulan, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporan bulanan pada Khamis, lapor Sputnik.

Bagaimanapun, kes di peringkat global dan kematian berkaitan Covid-19 semakin berkurangan, tambah WHO.

“Di peringkat serantau, jumlah kes dalam tempoh 28 hari menurun di empat daripada enam wilayah WHO: Afrika (-45%), Pasifik Barat (-39%), Amerika. (-33%), dan Eropah (-22%); manakala bilangan kes meningkat di Asia Tenggara (+481%) dan Mediterranean Timur (+144%),” menurut laporan itu.

Kenaikan tertinggi dalam insiden dilaporkan di Nepal dengan peningkatan 1,198%, daripada 49 kepada 636 kes baharu; di India, peningkatan 937% daripada 6,374 kepada 66,124 kes baharu; dan di Maldives, peningkatan 614% daripada 21 kepada 150 kes, kata WHO.

Menurut laporan itu, dalam tempoh 28 hari terakhir – 13 Mac hingga 9 April, 3 juta jangkitan baharu dan lebih 23,000 kematian dilaporkan, masing-masing menurun sebanyak 28% dan 30%, berbanding bulan sebelumnya.

WHO berkata jumlah kematian berkaitan Covid-19 meningkat sebanyak 109% di Asia Tenggara dan 138% di Wilayah Mediterranean Timur dalam tempoh yang dilaporkan.

Sehingga 9 April, lebih 762 juta kes koronavirus disahkan dan lebih 6.8 juta kematian berkaitan Covid-19 direkodkan di seluruh dunia, kata pertubuhan itu. – Bernama, 14 April 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen