Ghana sahkan nyamuk Anopheles stephensi, vektor pembawa malaria baharu


Perkhidmatan Kesihatan Ghana (GHS) menggambarkan Anopheles stephensi sebagai vektor unik yang membiak di kolam, paya termasuk semua tapak pembiakan Anopheles biasa. – Gambar Wikipedia, 16 April, 2023.

GHANA mengesahkan buat kali pertama nyamuk Anopheles stephensi sebagai vektor pembawa malaria baharu, menurut Perkhidmatan Kesihatan Ghana (GHS) pada Sabtu.

GHS mengumumkan perkara berkenaan dalam satu kenyataan media memaklumkan spesies nyamuk itu dikenal pasti ketika pengawasan rutin malaria di seluruh negara, lapor Xinhua.

GHS menggambarkan Anopheles stephensi sebagai vektor unik yang membiak di kolam, paya termasuk semua tapak pembiakan Anopheles biasa.

“Tetapi (ia) mampu bertahan pada suhu yang sangat tinggi semasa musim kemarau yang pada kebiasaan penularan malaria menurun,” menurut GHS.

GHS menubuhkan pasukan petugas untuk menasihati dan menyelaras kawalan malaria di negara itu.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Anopheles stephensi pada asalnya berasal dari bahagian Asia Selatan dan Semenanjung Arab dan dikesan di lima negara di Afrika sejak sedekad yang lalu.

Pihak Berkuasa Makanan dan Ubatan Ghana pada Khamis mengumumkan vaksin malaria R21 Universiti Oxford diluluskan penggunaannya bagi melindungi kanak-kanak berumur lima hingga 36 bulan daripada penyakit maut itu. – Bernama, 16 April, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen