BEKAS menteri pengangkutan Wee Ka Siong hari ini melahirkan rasa kecewa terhadap kegagalan kerajaan mengekalkan harga tiket penerbangan pada harga murah bagi orang ramai yang pulang ke kampung halaman sempena cuti Hari Raya.
Beliau kecewa dengan dakwaan Kementerian Pengangkutan bahawa ia tidak mempunyai kawalan ke atas tambang penerbangan dan harga ditentukan oleh mekanisme yang dinamik.
“Ini sesuatu yang amat mengejutkan dan mengecewakan orang ramai khususnya pengguna pengangkutan awam,” kata Wee dalam catatan Facebook hari ini.
Wee berkata tiket ekonomi sehala dari Kuala Lumpur ke Tawau berharga RM3,138 sepanjang tempoh Hari Raya.
Tidak jelas syarikat penerbangan mana yang mengenakan tambang setinggi itu. Semakan di laman web menunjukkan tiket AirAsia sehala ekonomi paling murah dari Kuala Lumpur ke Tawau berharga sekitar RM650 semasa tempoh perayaan. Tiket Malaysia Airlines untuk laluan penerbangan yang sama berharga RM1,000-RM2,000, bergantung pada tarikh berlepas.
Wee mempersoalkan bagaimana golongan miskin dan kelas sederhana mampu pulang berhari raya sedangkan tiket penerbangan begitu mahal.
“Macam mana keluarga B40 & M40 khususnya warga Tawau di perantauan nak beraya tahun ni?
“Syarikat penerbangan tiada alasan untuk tidak menambah frekuensi selagi ada kemampuan dan tiada lagi sekatan “passengers load” sebanyak 50% sewaktu Covid-19 yang memberi justifikasi harga tambang penerbangan melonjak tinggi.
“Sekarang, bukan lagi isu sekatan pergerakan akibat COVID-19 atau MRO, tapi harga tambang dari Kuala Lumpur ke Tawau bernilai RM3,138 seorang,” katanya.
Wee menggesa pengendali penerbangan untuk mempertimbangkan semula tambang penerbangan yang tinggi.
“Jangan sampai seluruh rakyat membuat andaian bahawa syarikat penerbangan tertentu dilihat mengeksploitasikan keadaan dengan mengaut keuntungan tinggi sehingga semua kerugian yang ditanggung semasa Covid-19 mahu dipulihkan (recovered) dalam tempoh yang singkat,” katanya.
Wee semasa menjadi menteri pengangkutan pernah berkata kerajaan tidak akan campur tangan dalam penetapan tambang penerbangan domestik. – 16 April, 2023.
Komen