Pengawal selia british haramkan iklan 'penerbangan mampan' Etihad


Penguasa Piawaian Pengiklanan (ASA) menyiasat sama ada iklan itu mengelirukan kerana dianggap membesar-besarkan manfaat alam sekitar jika menaiki penerbangan Etihad. – Gambar EPA, 12 April, 2023.

PENGAWAL selia British mengharamkan iklan Etihad Airways kerana dikatakan membuat kenyataan yang berlebihan mengenai usaha syarikat penerbangan itu untuk mencapai ‘penerbangan mampan’.

Kedua-dua iklan di Facebook yang disiar pada Oktober, menyebut syarikat penerbangan itu memahami ‘impak penerbangan terhadap alam sekitar’ dan mengambil ‘pendekatan lebih kukuh dan berani untuk merialisasikan penerbangan mampan’.

Video itu turut memaparkan imej kad Etihad Guest Miles yang dihiasi dedaun tumbuhan dan kenyataan mengenai mengurangkan penggunaan plastik sekali pakai dalam penerbangan pesawat moden.

Penguasa Piawaian Pengiklanan (ASA) menyiasat sama ada iklan itu mengelirukan kerana dianggap membesar-besarkan manfaat alam sekitar jika menaiki penerbangan Etihad.

Etihad berkata ‘penerbangan mampan’ tidak bertujuan untuk dianggap sebagai penyelesaian mutlak kepada impak alam sekitar penerbangan, sebaliknya sebagai proses jangka panjang dan pelbagai aspek pemuliharaan alam sekitar.

ASA berkata inisiatif seperti mengurangkan plastik sekali guna dan menggunakan pesawat yang lebih cekap tidak mencukupi untuk menyokong tuntutan ‘penerbangan mampan’ tetapi memperakui ulasan  Etihad mengenai penggunaan pesawat moden dan amalan penerbangan untuk mengurangkan pelepasan.

“Oleh itu kami memutuskan iklan itu melanggar kod pengiklanan,” katanya.

Sementara itu Etihad dalam satu kenyataan pihaknya kecewa dengan keputusan ASA berhubung pengiklanannya di Facebook pada Oktober 2022.

Menurut Etihad kemampanan menjadi keutamaan selain melaksanakan pelbagai program penyelidikan serta pembangunan yang komprehensif untuk menangani penyahkarbonan penerbangan.

“Etihad berusaha untuk mengurangkan kesan penerbangan terhadap alam sekitar dengan melabur berbilion-bilion untuk penggunaan bahan api yang cekap, penyelidikan bahan api penerbangan selain mengimbangi karbon serta penghutanan semula melalui Hutan Bakau Etihad.

“Etihad berbangga kerana menerima anugerah Syarikat Penerbangan Alam Sekitar Terbaik untuk 2022 dalam Anugerah Kecemerlangan Syarikat Penerbangan, sebagai pengiktirafan ke atas usaha yang dilaksanakannya.

“Syarikat penerbangan itu akan terus mengambil langkah berani dan inovatif termasuk bekerjasama dengan pengeluar pesawat dan enjin, pembekal bahan api mampan, ahli akademik dan inovator untuk menjadikan penerbangan lebih mampan,” menurut Etihad. – Bernama, 12 April, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen