Langkah keselamatan kesihatan di lapangan terbang giat dilaksanakan, kata MAHB


MAHB berkata akan bekerjasama dengan KKM dan agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan kesihatan semua penumpang di rangkaian lapangan terbangnya terpelihara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Januari, 2023.

LANGKAH keselamatan kesihatan di lapangan terbang dilaksanakan sejak pandemik bermula dan akan diteruskan dengan lebih giat terutamanya berikutan peningkatan ketara pergerakan trafik antarabangsa pada 2022, menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Dalam kenyataan hari ini, MAHB berkata kumpulan itu merekodkan kira-kira 143,000 pergerakan pesawat antarabangsa bagi operasinya di Malaysia tahun lepas dengan sebahagian besar pergerakan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) iaitu sekitar 111,000.

“Menerusi kelonggaran sekatan perjalanan terkini oleh kerajaan China, dijangkakan jumlah pergerakan antarabangsa rangkaian lapangan terbang kami akan mencatat lebih banyak peningkatan pada 2023.

“Terdapat penerbangan keluar dan masuk ke China yang beroperasi di KLIA sejak 2022 dan kekerapannya meningkat beransur-ansur pada suku terakhir tahun tersebut,” katanya.

MAHB berkata KLIA dijangka menerima 11 penerbangan dari China hari ini dengan sembilan daripadanya di terminal utama KLIA manakala dua lagi di klia2.

Katanya lapangan terbang tersebut akan menerima purata sebanyak 10 penerbangan harian pada minggu akan datang.

Menurut MAHB kumpulan itu akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan agensi lain yang berkaitan untuk memastikan keselamatan kesihatan semua penumpang di rangkaian lapangan terbangnya terpelihara.

Berikutan perkembangan positif ini, kumpulan itu meningkatkan persediaan untuk menyambut ketibaan lebih ramai penumpang terutamanya dari segi kemudahan dan penambahbaikan perkhidmatan.

Ini termasuk menyediakan sebanyak 16 bas ulang-alik yang beroperasi 24 jam seminggu untuk memastikan pergerakan penumpang antara bangunan satelit dengan bangunan terminal utama berjalan lancar sebagai alternatif kepada perkhidmatan Aerotrain serta penyediaan meja bantuan yang diuruskan oleh kakitangan yang boleh berbahasa Mandarin di kedua-dua terminal di KLIA. – Bernama, 8 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen