Ratusan penerbangan di Jerman batal akibat mogok


Gangguan dan pembatalan penerbangan juga dijangka berlaku di lapangan terbang Bremen dan Hanover. – Gambar AFP, 13 Mac 2023.

RATUSAN penerbangan di empat lapangan terbang Jerman dibatalkan pada Isnin ekoran kakitangan keselamatan melancarkan mogok sehari.

Lapangan terbang antarabangsa Berlin mengumumkan bahawa semua penerbangan komersial pada Isnin dibatalkan.

Lapangan terbang itu terpaksa membatalkan kira-kira 200 penerbangan, menjejaskan 27,000 pelancong, lapor Agensi Anadolu.

Penumpang diminta menghubungi syarikat penerbangan mereka untuk mengetahui status penerbangan semasa.

Lapangan terbang Hamburg juga memaklumkan tiada pelepasan akan dilakukan pada Isnin, dan mogok itu mungkin akan menyebabkan pembatalan dan kelewatan.

Gangguan dan pembatalan penerbangan juga dijangka berlaku di lapangan terbang Bremen dan Hanover.

Kesatuan sekerja menuntut kenaikan gaji melebihi inflasi, kadar saraan yang lebih tinggi untuk kerja lebih masa dan syif malam serta penambahbaikan persekitaran kerja. – Bernama, 13 Mac 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen