DBKL bakal adakan sesi libat urus pindaan draf PSKL2040


Pewartaan PSKL2040 ditangguhkan sehingga 31 Mei bagi membolehkan DBKL mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 April, 2023.

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengadakan sesi libat urus bersama orang awam dan pihak berkepentingan bagi pindaan Draf Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040).

Pengarah Eksekutif (Perancangan) DBKL Sulaiman Mohamed berkata ia selaras dengan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkaitan penangguhan proses pewartaan Draf PSKL2040 sehingga 31 Mei ini.

Beliau berkata sesi libat urus bertujuan memaklumkan pindaaan yang telah dibuat terhadap draf tersebut berdasarkan pandangan awam yang diterima, pengesyoran Jawatankuasa Pendengaran Pandangan Awam (JKPPA), penyelarasan dasar semasa kerajaan dan pandangan Ahli Lembaga Penasihat Perancangan Wilayah Persekutuan (LPPWP).

“Tarikh, masa dan tempat bagi sesi libat urus ini akan dimaklumkan kepada orang awam dan pihak berkepentingan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Sehubungan itu, orang awam boleh mendapatkan Laporan Akhir Pindaan Draf PSKL2040 melalui laman sesawang rasmi DBKL melalui laman web di https://www.dbkl.gov.my mulai (Khamis) ini (13 April).

Sebelum ini, Anwar dalam kenyataan memaklumkan pewartaan PSKL2040 akan ditangguhkan sehingga 31 Mei bagi membolehkan DBKL mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan dalam satu tempoh yang mencukupi bagi memberi penjelasan, di samping mendapatkan maklum balas yang sewajarnya. – Bernama, 11 April, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen