Penduduk KL persoal fungsi Jabatan Wilayah Persekutuan


Noel Achariam

Penduduk KL masih belum melihat sebarang perubahan bagi kesejahteraan, perkhidmatan dan kemudahan kehidupan bandar mereka selepas Kementerian WP distruktur semula menjadi JWP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac, 2023.

PENDUDUK Kuala Lumpur mempersoalkan peranan dan fungsi Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) selepas ia ditubuhkan oleh kerajaan perpaduan tahun lalu.

Jabatan yang sebelum ini dikenali sebagai Kementerian Wilayah Persekutuan distruktur semula dan diletakkan di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri.

Penduduk memberitahu The Malaysian Insight yang mereka masih belum melihat sebarang perubahan untuk kesejahteraan, perkhidmatan dan kemudahan kehidupan bandar mereka oleh JWP.

Jurucakap gabungan Save KL M Ali berkata mereka tidak melihat sebarang hasil ketara selepas Kementerian Wilayah Persekutuan menjadi JWP.

“Mereka kini mempunyai ketua pengarah (Rosida Jaafar), jadi apa yang kami ingin tahu ialah peranan dan fungsi JWP? Ia belum dimaklumkan kepada kita.

“Juga adakah terdapat pengurangan dalam tenaga kerja, bajet dan sumber sejak ia (Kementerian WP) diturunkan kepada jabatan?” Katanya.

Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali mengumumkan pada Disember yang Kementerian WP distruktur semula kepada JWP.

Kementerian WP kali terakhir diketuai oleh Shahidan Kassim sebelum pembubaran Parlimen pada 10 Oktober.

Ali berkata mereka akan menulis surat tidak lama lagi untuk mendapatkan perjumpaan dengan Rosida.

“Apakah peranan dan fungsinya dan apa yang mereka akan lakukan untuk kami sebagai penjaga KL?

“Tanggapan saya ialah tiada apa yang berubah dari segi mentadbir bandar.”

Beliau turut bertanya mengenai status pejabat tanah dan galian Kuala Lumpur yang sebelum ini berada di bawah bidang kuasa Kementerian WP.

“Di mana ia sekarang dan apakah fungsinya? Mesti ada ketelusan. Semua butiran ini mesti diketahui.”

Beliau juga percaya Datuk Bandar Kuala Lumpur harus dibenarkan untuk mentadbir bandar.

Setiausaha Persatuan Penduduk Bangsar Baru Prem Kumar Nair berkata jika mereka (kerajaan perpaduan) akan melakukan perubahan seperti ini (penjenamaan semula Kementerian WP) maka mereka harus memaklumkan kepada penduduk mengenai apa yang berlaku.

“Jika ia (JWP) berada di bawah Pejabat Perdana Menteri maka apakah perbezaannya? Jika ia berubah menjadi lebih baik maka apakah fungsinya sekarang?” kata Prem.

“Bagaimana ia akan memberi manfaat kepada rakyat, pengusaha perniagaan dan lain-lain? Bagaimana kami boleh berkomunikasi, supaya kita boleh menyalurkan isu?”

Prem berkata setakat ini, pihaknya (DBKL) masih belum berhubung dengan penduduk kerana tiada sebarang mesyuarat atau sesidialog awam mengenai JWP.

“Mereka sepatutnya mengambil inisiatif untuk melibatkan diri dengan penduduk.

“Orang ramai tidak tahu sekarang apakah peranan dan fungsi (JWP) itu.

“Apa yang kami mahu ialah pihak berkuasa menyelesaikan isu kami di sini. Tidak ada beza sama ada Kementerian WP masih ada sekarang atau tidak.”

Beliau menambah masih terdapat kesesakan lalu lintas, pub beroperasi sehingga lewat malam, tiada penguatkuasaan berterusan ke atas tempat letak kenderaan yang tidak teratur dan lain-lain isu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng yang berkhidmat selama empat penggal menegaskan Kementerian WP bertindih.

Beliau berkata Kementerian WP memainkan peranan bertindih dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan ia membazirkan dana dan sumber pembayar cukai.

“Saya percaya ia masih berlebihan dan kementerian harus dimansuhkan. Hantar kakitangan kembali ke DBKL dan berikan pengurusan tunggal Dewan Bandaraya.”

Beliau berkata ia adalah langkah baik kerajaan perpaduan untuk memansuhkan Kementerian WP.

“Sekarang Datuk Bandar (Mahadi Che Ngah) mengadakan mesyuarat bulanan dengan semua ahli Parlimen sejak Januari.

“Pengarah DBKL akan membincangkan isu di kawasan kami dan kami akan memberi maklum balas. Tidak seperti sebelum ini di mana mereka hanya mendengar cakap menteri WP.

“Sebelum ini juga tidak ada hubungan dengan menteri (Kementerian WP).

“Saya juga dengar DBKL tidak mahu bekerjasama dengan kami (ahli Parlimen KL) kerana sebelum ini kami pembangkang.”

Ketika ditanya sama ada Lim mempunyai sebarang komunikasi dengan Rosida, beliau berkata tiada komunikasi sejak Kementerian WP dimansuhkan.

Kementerian WP yang ditubuhkan pada 1979 ditugaskan untuk menyelia pentadbiran dan pembangunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memansuhkannya selepas memutuskan barisan Kabinet yang lebih kecil. – 8 Mac, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen