DBKL tebang pokok demi keselamatan awam


Noel Achariam

DBKL berkata kerja penyelenggaraan pokok di DUN Batu dijalankan sejak 14 Februari hingga 31 Mac ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mac, 2023.

AKTIVITI pemotongan pokok yang dijalankan di kawasan kejiranan tertentu di ibu negara adalah bagi memastikan keselamatan orang ramai, kata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

DBKL berkata ia sentiasa menjalankan kerja penyelenggaraan pokok di sekitar bandar raya untuk keselamatan awam dan memastikan ia tidak mendatangkan sebarang bahaya.

“Kerja-kerja penyelenggaraan pokok perlu dijalankan bagi memastikan keselamatan awam terjamin,” kata unit komunikasi korporatnya kepada The Malaysian Insight.

DBKL membalas rungutan penduduk mengenai pokok yang ditebang di sekitar bandar raya.

Di satu kawasan khususnya di Sentul, pokok berusia 30 tahun ditebang sehingga menimbulkan kegusaran penduduk setempat.

Ketika ditanya mengenai kerja pemotongan pokok di kawasan itu, DBKL berkata kerja penyelenggaraan pokok di DUN Batu dijalankan sejak 14 Februari hingga 31 Mac ini.

Pokok di sekitar Jalan Sentul, Jalan Amra dan sekitar kawasan Sentul Boulevard akan terjejas.

DBKL berkata kerja memotong pokok di kawasan itu adalah hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh pakar penjagaan pokok mereka bersama penyelia DBKL kawasan Parlimen.

DBKL berkata sebanyak 21 pokok sudah ditebang dan ada tiga lagi yang perlu ditebang.

“Usia pokok yang ditebang kira-kira 20 hingga 30 tahun.”

DBKL berkata usia pokok yang ditebang antara 20 hingga 30 tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mac, 2023.

Pokok yang ditebang adalah pokok mati, pokok yang diserang anai-anai dan yang terlalu besar.

Terdapat juga pokok yang berisiko dan mendatangkan bahaya, mempunyai akar sebagai tali pinggang dan pokok reput.

DBKL berkata, pokok gantian itu akan ditanam selepas mengambil kira ruang tanaman yang mencukupi.

Jurucakap Save KL, M Ali dalam pada itu berkata walaupun mereka berusaha untuk mengekalkan kehijauan bandar raya, mereka juga mahu melindungi keselamatan orang ramai.

“Sekiranya pokok itu menyusahkan rakyat dari segi nyawa dan harta benda, maka ia perlu ditebang.

“Penduduk mesti memahami pokok yang sakit perlu diganti.

“Pihak berkuasa mesti terus memastikan pokok di sekitar bandar raya dijaga dan dipotong dengan baik,” katanya.

Beliau berkata, bagi setiap pokok yang ditebang, satu lagi mesti ditanam di tempatnya.

“Jadi apa yang kami mahu adalah program penyelenggaraan pokok yang berkesan. Bukan kerja main-main.

“Mereka juga mesti tanam pokok yang betul dan sesuai, bukan sekadar menanam untuk tujuan penanaman.

“Dengan musim hujan, dahan cenderung untuk patah. Jadi pokok yang mendatangkan bahaya kepada pejalan kaki mesti sentiasa dipotong.” – 5 Mac, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen