Sekatan perjalanan Muhyiddin ditarik balik, kata peguam


Sekatan perjalanan terhadap bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin ditarik balik dan beliau boleh meminta mahkamah menyerahkan pasportnya buat sementara waktu jika mahu melakukan perjalanan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 April, 2023.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu sekatan perjalanan terhadap bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin ditarik balik.

Peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan memberitahu mahkamah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Jabatan Imigresen larangan itu ditarik balik pada 22 Mac.

Shamsul yang mewakili kerajaan berkata sejak larangan itu ditarik balik, usaha Muhyiddin dan Bersatu untuk mencabar larangan itu kini menjadi akademik.

Bagaimanapun presiden Bersatu itu masih dilarang membuat perjalanan kerana pasportnya dipegang oleh mahkamah sesyen selepas beliau didakwa akibat rasuah bulan lepas.

“Dia (Muhyiddin) didakwa (di Mahkamah Sesyen) bulan lepas dan mahkamah memerintahkan dia menyerahkan pasport sebagai sebahagian daripada syarat jaminannya,” katanya seperti dipetik akhbar Free Malaysian Today.

Shamsul berkata Muhyiddin boleh meminta mahkamah menyerahkan pasportnya buat sementara waktu jika beliau mahu melakukan perjalanan.

Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional sebelum ini mendakwa sekatan perjalanan itu salah dikenakan ke atasnya dan tidak dimaklumkan mengenainya.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga berkata sekatan itu bertujuan untuk mencemarkan nama baiknya dan seolah-olah beliau melakukan jenayah dan cuba melarikan diri.

Bersatu juga memfailkan permohonan untuk mencabar keputusan SPRM membekukan akaun banknya atas alasan ia dilakukan dengan berniat jahat.

Peguam Rosli Dahlan yang mewakili parti itu memberitahu mahkamah masih terdapat isu dipertikai dan perlu didedahkan pada pendengaran substantif semakan kehakiman.

Beliau berkata mahkamah perlu membenarkan kes itu diteruskan ke peringkat seterusnya.

Rosli juga berkata Jabatan Imigresen memfailkan afidavit dengan mendakwa sekatan perjalanan itu dimohon SPRM tetapi tidak memberikan justifikasi mencukupi seperti dikehendaki.

“Mereka (Jabatan Imigresen) hanya menyerahkan kesalahan kepada SPRM.

“Tiada juga notis memaklumkan (Muhyiddin) disekat daripada melancong sehinggalah dia sendiri yang mengetahuinya ketika mahu pergi berucap di forum luar negara,” katanya. 

Selain itu peguam itu berkata keputusan SPRM untuk membekukan akaun Bersatu dibuat dengan niat jahat dan mahkamah perlu menyiasat proses membuat keputusan agensi itu.

Rosli juga berkata Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dan pegawai kanannya Hishamuddin Hashim adalah individu “bermasalah” kerana Azam “sebelum ini terlibat” dalam “perdagangan saham” dan Hishamuddin dalam “kes Teoh Beng Hock”.

“Tiada apa yang diperkatakan tentang ‘salah laku’ mereka di bawah kerajaan ini,” kata Rosli.

Beliau berkata siasatan, pembekuan akaun dan pendakwaan terhadap Muhyiddin dan Bersatu dilakukan secara cagaran oleh kerajaan untuk memusnahkan parti pembangkang.

“Pembangkang tidak boleh dibunuh, kalau tidak demokrasi akan mati,” tambahnya.

Hakim Ahmad Kamal Shahid menahan peguam itu daripada membuat “ucapan politik” di mahkamah.

Sebagai tindak balas Shamsul berkata perintah pembekuan SPRM tidak boleh disemak oleh mahkamah kerana ia adalah sebahagian daripada proses siasatan.

Kamal menetapkan 17 Mei untuk keputusan sama ada membenarkan permohonan Bersatu untuk memulakan semakan kehakiman. – 6 April, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen