Guan Eng dapat pelepasan sementara pasport hadir pengebumian bapa saudara


Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng diberikan pelepasan sementara pasport bagi membolehkan beliau ke Singapura bagi menghadiri upacara pengebumian bapa saudaranya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mac, 2023.

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini membenarkan pelepasan sementara pasport bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng untuk membolehkan beliau ke Singapura bagi menghadiri upacara pengebumian bapa saudaranya.

Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan itu selepas mendengar hujahan peguam Syafiqah Sofian yang mewakili Guan Eng dan Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh.

“Mahkamah membenarkan permohonan pemohon (Guan Eng) untuk mendapatkan pelepasan pasport, bagaimanapun pemohon perlu memulangkan pasport dalam tempoh lima hari dari tarikh 5 Mac ini,” kata hakim itu.

Terdahulu Syafiqah dalam hujahnya berkata anak guamnya memerlukan pasport itu untuk ke Singapura dan beliau akan berlepas ke negara berkenaan pada jam 4.30 petang esok dan akan kembali ke Kuala Lumpur Ahad ini (5 Mac).

“Pada 1 Mac lepas pemohon (Guan Eng) dimaklumkan oleh ahli keluarganya bahawa bapa saudaranya Lim Kit Hee meninggal dunia. Oleh itu, anak guam saya ingin menghadiri upacara pengebumian mendiang di Orchid Hall, Singapura, esok sebagai penghormatan terakhir kepada mendiang.

“Anak guam bukan seorang yang ‘flight risk’ kerana ahli keluarganya menetap di Malaysia, malah beliau (Guan Eng) juga turut dikenali ramai kerana faktor kerjayanya sebagai Ahli Parlimen Bagan dan pengerusi DAP.

“Selain itu beliau juga dikenakan jaminan tinggi iaitu RM1 juta dan tidak pernah gagal menghadiri prosiding perbicaraan kecuali sakit atau perlu menghadiri sidang Parlimen,” katanya.

Farah Yasmin tidak membantah permohonan itu namun berkata Guan Eng perlu mengembalikan pasport berkenaan sebelum pendengaran kesnya pada 17 Mac ini.

Lim, 62, kini dibicarakan atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang di Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek berkenaan dan dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di Kuala Lumpur pada Mac 2011.

Lim juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu. – Bernama, 3 Mac, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen