Mahkamah tolak permohonan Zahid dapatkan semula pasport


Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah berkata permohonan Ahmad Zahid Hamidi Zahid ditolak kerana undang-undang adalah sama sahaja kepada mana-mana tertuduh yang sedang berhadapan prosiding mahkamah atas pertuduhan sama tanpa mengira status mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Februari 2023.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan semula pasport antarabangsanya secara kekal bagi menjalankan tugas rasmi sebagai timbalan perdana menteri.

Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata permohonan Zahid ditolak kerana undang-undang adalah sama sahaja kepada mana-mana tertuduh yang sedang berhadapan prosiding mahkamah atas pertuduhan sama tanpa mengira status mereka.

Sequerah bagaimanapun membenarkan pasport antarabangsa Zahid dipulangkan untuk sementara waktu bagi membolehkan beliau membuat pasport diplomatik bagi tujuan tugasan rasmi.

Hakim itu menambah, Zahid yang menghadapi 47 tuduhan rasuah mesti memulangkan semula pasportnya kepada mahkamah selepas pasport diplomatik dibuat.

“Tiada mana-mana individu atau golongan yang boleh melangkaui undang-undang. Oleh itu permohonan pemohon untuk mendapatkan pasportnya secara kekal ditolak,” kata Sequerah.

Minggu lepas, Zahid yang juga presiden Umno, memohon untuk mendapatkan semula pasport antarabangsanya secara kekal bagi menjalankan tugas rasmi sebagai timbalan perdana menteri.

Pasport beliau sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas beliau didakwa atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi, yang kini prosidingnya di peringkat pembelaan.

Menerusi afidavit sokongan permohonan itu, Zahid, 70, berkata permohonan tersebut adalah bersifat bona fide (berniat baik) dan hanya bertujuan untuk memohon kebenaran bagi pelepasan pasport agar beliau dapat menjalankan tugas rasmi dengan lancar.

Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata beliau mempunyai beberapa kekangan untuk menjalankan tugas seperti menteri lain kerana tidak mempunyai akses kepada pasport tersebut.

“Sebagai timbalan perdana menteri, saya telah menerima mandat dan tanggungjawab utama daripada Perdana Menteri yang ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewakilkan beliau dalam beberapa urusan pentadbiran negara,” katanya seperti dilapor Bernama.

Notis permohonan berserta afidavit sokongan itu difailkan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 20 Januari lepas.

Zahid selain itu berkata pasport tersebut diperlukan kerana ia adalah syarat dalam proses permohonannya untuk mendapatkan Pasport Diplomatik daripada Jabatan Imigresen Malaysia, bagi tujuan pergerakan rasmi keluar dan masuk negara.

Katanya, beliau tidak mempunyai niat untuk melarikan diri dari negara ini dan tidak menghadirkan diri ke prosiding mahkamah kerana beliau masih berkhidmat sebagai ahli Parlimen Bagan Datuk dan bergiat aktif dalam bidang politik selain kesemuanya ahli keluarganya berada di negara ini. – 3 Februari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen