Pemuda Bersatu gesa Rosmah dibawa pulang dari Singapura


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Oktober lalu hanya membenarkan Rosmah Mansor ke Singapura dari 22 Oktober, dan perlu pulang ke Malaysia pada atau sebelum 21 November 2021.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2021.

PEMUDA Bersatu akan membuat laporan polis bagi memohon pasport Rosmah Mansor dibatalkan dan beliau dibawa pulang dari Singapura selepas gagal kembali ke Malaysia pada 21 November seterusnya menghadiri perbicaraan mahkamah pada 2 Disember.

Ketua penerangannya Mohd Ashraf Mustaqim berkata laporan akan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi petang ini.

“Terang-terang dia telah langgar dan hina perintah mahkamah. Ini satu penghinaan pada sistem keadilan negara,” katanya menerusi jemputan kepada media.

Rosmah masih berada Singapura untuk melawat anak perempuannya Nooryana Najwa, yang baru bersalin pada 1 November lalu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Oktober lalu membenarkan permohonan beliau bagi mendapatkan semula pasportnya untuk ke Singapura. 

Rosmah bagaimanapun hanya dibenarkan ke republik itu dari 22 Oktober dan perlu pulang ke Malaysia pada atau sebelum 21 November 2021.

Khamis lalu, isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu gagal hadir pada prosiding rayuan bagi membatalkan perbicaraan kes rasuahnya dan menggugurkan Gopal Sri Ram sebagai pendakwa utama dalam kes tersebut.

Mahkamah Rayuan bagaimanapun tidak mengeluarkan waran tangkap selepas peguamnya Jagjit Singh berkata beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas tindakan Rosmah.

Sri Ram sebelum itu meminta mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap Rosmah dan membatalkan ikat jaminnya.

Hakim mengarahkan Rosmah untuk hadir pada Isnin, 6 Disember ini,  jam 9 pagi.

Rosmah menghadapi tiga pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Dalam pertuduhan pertama, beliau didakwa meminta rasuah RM187.5 juta daripada Jepak Holdings Sdn Bhd untuk membantu mendapatkan projek Kementerian Pendidikan.

Projek bernilai RM1.25 bilion itu bertujuan membekalkan tenaga kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak menggunakan gabungan tenaga solar dan diesel.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, Rosmah didakwa menerima rasuah RM1.5 juta dan RM5 juta sebagai ganjaran untuk mendapatkan projek itu. – 4 Disember, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen