PEGUAM terkenal Muhammad Shafee Abdullah hari ini mendapat kelulusan Mahkamah Tinggi untuk melepaskan pasportnya selama sebulan untuk beliau menghadiri urusan pengajian dua anak perempuannya di Itali, lapor Malaysiakini.
Portal itu melaporkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini telah membenarkan permohonan Shafee bagi melepaskan sementara pasportnya bermula 8 Julai hingga 11 Ogos.
Permohonan itu telah diluluskan oleh Hakim Muhammad Jamil Hussin yang mempengerusikan kes pengubahan wang haram RM9.5 juta peguam tersebut.
Peguam Shafee, Wee Yeong Kang mengesahkan perkara itu, tanpa sebarang bantahan dibangkitkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz.
“Beliau (hakim) berpuas hati dengan alasan yang dinyatakan dalam afidavit kami (untuk menyokong permohonan itu).
“(Ia) untuk melawat anak perempuannya (sulung) dan menguruskan perpindahan sekolah anak perempuannya (adik) di Itali,” kata Wee seperti dipetik sebagai berkata oleh portal tersebut.
Tambah peguam itu, perbicaraan Shafee akan disambung semula pada 15 September.
Menurut salinan permohonan yang difailkan pada 24 Jun oleh firma guaman Shafee & Co, peguam itu ingin bertemu anak perempuan keduanya di sana dan membantu pertukaran sekolah dari International School for Europe di Milan, Itali ke The International School of Kuala Lumpur.
Shafee juga ingin melawat anak sulungnya yang kini belajar di Universiti John Cabot di Rom.
Salinan itu juga menyatakan peguam tersebut memohon pelepasan pasport sementara supaya boleh menempah penerbangan ke Itali di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8 Julai dan kembali ke Malaysia untuk memperbaharui pasportnya sebelum menyerahkan semula dokumen itu kepada mahkamah selewat-lewatnya 12 Ogos.
Pada 25 Oktober tahun lepas, mahkamah yang sama membenarkan pelepasan sementara pasport tertuduh supaya boleh ke New York untuk menguruskan pendidikan tinggi anaknya di sana.
Sebelum ini, Shafee menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sebagai sebahagian daripada syarat ikat jamin dalam perbicaraan yang sedang berjalan atas dakwaan pengubahan wang haram membabitkan RM9.5 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri Najib Razak. – 30 Jun, 2022.
Komen