JABATAN Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) berkemungkinan akan mengambil tindakan tatatertib terhadap doktor kontrak di negeri itu sekiranya didapati mengambil bahagian dalam mogok yang dijangka berlaku serentak di seluruh negara, esok.
Bagaimanapun Pengarah JKNJ Dr Aman Rabu berkata tindakan itu hanya akan diambil selepas teguran dan nasihat diberikan kepada mereka.
Beliau berkata pengarah hospital di setiap daerah juga dinasihatkan untuk memastikan setiap pegawainya hadir menjalankan tugas esok.
“Perkhidmatan berjalan seperti biasa, itu jaminan kita. Kalau berlaku (mogok esok) tindakan akan diambil terhadap mereka yang ambil bahagian dalam mogok itu, sebagaimana arahan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Kita akan beri nasihat dan teguran (dahulu), kalau langgar juga mungkin ambil tindakan tatatertib,” katanya pada sidang media selepas menyertai operasi pemantauan bazar Ramadan di Angsana Johor Bahru Mall, hari ini.
Dr Aman berkata setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat sama ada terdapat mogok dalam kalangan doktor kontrak di Johor esok, sekali gus memberi jaminan akan memastikan perkhidmatan kesihatan berjalan dengan lancar.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor Ling Tian Soon berkata kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk mendengar rintihan dan masalah yang dihadapi doktor kontrak di negeri itu dan menyampaikan hasrat mereka kepada KKM.
“Walaupun ia bukan bidang kuasa negeri tetapi sebagai wakil kerajaan negeri, saya masih terbuka untuk mendengar rintihan doktor kontrak supaya dapat sampaikan hasrat mereka kepada pihak kementerian.
“Mudah-mudahan saya harap doktor kontrak, saya yakin dan percaya mereka masing-masing ada hati dan berjiwa rakyat, berjiwa membantu pesakit,” katanya. – Bernama, 2 April, 2023.
Komen