Mogok doktor kontrak akan diteruskan esok, kata kumpulan


Semalam Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa menggesa doktor supaya menjauhi mogok itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 April, 2023.

DOKTOR kontrak akan meneruskan mogok tiga hari mereka mulai esok berhubung gaji dan faedah walaupun Kementerian Kesihatan memberi jaminan untuk meneliti keluhan mereka.

Wakil penganjur protes Mogok Doktor Malaysia dilaporkan memberitahu Astro Awani mereka hilang kepercayaan kepada kementerian untuk menangani masalah berkenaan.

Semalam Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa menggesa doktor supaya menjauhi mogok itu, dengan mengatakan suruhanjaya pembaharuan penjagaan kesihatan akan ditubuhkan untuk menangani isu yang dibangkitkan.

“Kami kecewa dan hilang kepercayaan kepada Kementerian Kesihatan.

“Masalah itu tidak akan selesai selagi 83% doktor dalam kontrak tidak diberikan jawatan tetap,” kata wakil yang hanya mahu dikenali sebagai Dr Jamal dipetik sebagai berkata oleh Astro Awani.

Jamal turut mendakwa antara 10,000 dan 13,000 pekerja penjagaan kesihatan di seluruh negara dijangka menyertai mogok tiga hari itu.

Awal hari ini, Kementerian Kesihatan memberi amaran kepada doktor kontrak supaya tidak mengambil bahagian dalam mogok esok, menyifatkannya sebagai perhimpunan haram.

Ia memetik pekeliling oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam pada 30 Jun, yang menyatakan bahawa penjawat awam dilarang menyertai sebarang bentuk perhimpunan haram.

“Penyertaan penjawat awam dalam perhimpunan haram adalah melanggar Peraturan 4(1) dan 4(2),” tweetnya, memetik Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Kementerian mentakrifkan penyertaan sebagai “penglibatan aktif di luar semasa waktu kerja” dan “menggunakan waktu kerja dan meninggalkan kerja untuk melihat dan menyertai perhimpunan”.

“Penjawat awam tidak boleh menjalankan kerja atau berkelakuan dengan cara yang akan bercanggah dengan tugas dan keberkesanan mereka sebagai penjawat awam,” katanya dalam catatan itu.

Minggu lalu, sekumpulan doktor kontrak yang kecewa, dikenali sebagai Mogok Doktor Malaysia, menyeru rakan kakitangan kontrak untuk menunjukkan solidariti dengan sama ada mengambil cuti kecemasan atau cuti sakit dari Isnin hingga Rabu atas rungutan mengenai sistem dan gaji yang rendah.

Kumpulan itu menuntut semua pegawai perubatan kontrak diserap ke jawatan tetap tanpa sebarang syarat atau temu duga; kenaikan gaji pokok; kadar atas panggilan yang lebih tinggi; penyelesaian kepada kekurangan pakar, pegawai perubatan dan pegawai rumah; dan pengurangan automatik dalam tempoh perkhidmatan wajib bagi pegawai perubatan kepada tiga tahun. – 2 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen