Serap doktor kontrak berserta caruman KWSP, kata MMA


MMA mencadangkan KKM menyerap doktor kontrak ke dalam sistem perjawatan tetap berserta caruman KWSP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mac 2023.

PERSATUAN Perubatan Malaysia (MMA) menyarankan doktor kontrak diberi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) jika Putrajaya memutuskan untuk menyerap mereka ke dalam sistem perjawatan tetap tanpa pencen.

Presiden MMA Dr Muruga Raj Rajathurai berkata perkara itu pernah dicadangkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2019.

“Pilihan utama kami ialah jawatan tetap megikut kaedah semasa (dengan pencen).

“(Walaupun) kami faham skim pencen membebankan tetapi kami menegaskan perlu ada dana persaraan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Muruga mengulas kenyataan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa hari ini, yang berkata KKM sedang berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menyerap petugas perubatan berstatus kontrak ke dalam sistem perjawatan tetap tanpa diberikan pencen.

Dr Zaliha berkata langkah itu bagi menangani bebanan tugas yang melebihi kapasiti sumber sedia ada serta untuk mengurangkan beban skim berpencen ditanggung negara ketika ini yang mencecah RM29.1 bilion pada 2021.

“Kita sedar beban kerajaan berdepan dengan skim berpencen iaitu pada 2011 nilainya adalah sebanyak RM3.1 bilion dan kemudiannya meningkat kepada RM29.1 bilion pada 2021, ini merupakan beban yang sangat tinggi dan mungkin akan terus meningkat.

“Jadi kita memikirkan jalan keluarnya adalah dengan mengusulkan untuk mengambil pekerja kontrak secara tetap tetapi tanpa pencen, namun mereka ini boleh mendapat manfaat yang sama seperti pekerja tetap yang lain antaranya boleh membuat pinjaman perumahan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini. – 30 Mac 2023. 

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen