RUU kawal selia produk merokok dibentang Mei ini, kata menteri


Kata Dr Zaliha KKM akan mempergiat kempen advokasi kesedaran bahaya merokok termasuk penggunaan rokok elektronik atau vape melalui Pelan Generational Endgame Anti Rokok (GEGAR). – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 April, 2023.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan membentangkan Rang Undang-Undang (RRU) baharu yang akan mengawal selia semua produk merokok termasuk bahan mengandungi nikotin.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata pihaknya menyasarkan RUU baharu itu akan dibentangkan dengan segera pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen ke-15 yang dijangka bersidang pada Mei depan. 

“RUU baharu tersebut adalah bagi memastikan terdapat kawalan menyeluruh terhadap sediaan nikotin atau gel mengandungi nikotin di dalam cecair rokok elektronik atau vape,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau turut memaklumkan sudah menjalankan sesi libat urus berhubung dasar ditetapkan di bawah RUU baharu itu termasuk peruntukan Generasi Penamat Rokok (Generational Endgame (GEG)) kepada semua pihak berkepentingan seperti ahli Parlimen, badan bukan kerajaan, badan profesional dan pihak lain yang berkaitan.

“KKM sangat prihatin atas kebimbangan, reaksi dan maklum balas diterima di media massa susulan daripada pengecualian sediaan cecair atau gel mengandungi nikotin untuk tujuan merokok menggunakan rokok elektronik atau peranti pengewapan elektronik daripada Senarai Racun di dalam Jadual Pertama, Akta Racun 1952 (Akta 366),” katanya.

Dr Zaliha berkata pengecualian itu selaras dengan keputusan pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari lepas oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahimkerajaan akan mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

Lanjutan pengecualian itu, sediaan cecair atau gel mengandungi nikotin untuk tujuan merokok menggunakan rokok elektronik atau peranti pengewapan elektronik kini adalah suatu barangan berduti eksais dan dikawal di bawah Akta Eksais 1976 [Akta 176]. 

Akta Eksais 1976 memperuntukkan kawalan antaranya dengan melesenkan aktiviti pengilangan dan penggudangan yang melibatkan sediaan ini. Mana-mana orang yang mengilang barangan berduti eksais tanpa lesen boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Sementara itu beliau berkata KKM akan mempergiat kempen advokasi kesedaran bahaya merokok termasuk penggunaan rokok elektronik atau vape melalui Pelan Generational Endgame Anti Rokok (GEGAR).

Ia dengan meneruskan pelaksanaan program pencegahan merokok dan intervensi berhenti merokok di sekolah dan institusi pengajian tinggi melalui kerjasama bersama Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Yayasan Sukarelawan Siswazah, Majlis Belia Malaysia dan badan bukan kerajaan berkaitan. – Bernama, 1 April, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen