Menteri jawab Syed Saddiq kes halangan masuk IPTA


Menterinya Mohamed Khaled Nordin bagaimanapun berkata individu yang mahu mengadakan program di IPTA perlulah berbincang dengan pihak pengurusan universiti berkenaan terlebih dahulu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 April, 2023.

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) tidak menghalang mana-mana pihak termasuk ahli politik daripada memasuki dan mengadakan program di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), di negara ini.

Menterinya Mohamed Khaled Nordin bagaimanapun berkata individu yang mahu mengadakan program di IPTA perlulah berbincang dengan pihak pengurusan universiti berkenaan terlebih dahulu.

“Mungkin ada ‘break down’ dalam komunikasi, jadi dalam hal ini kita memang berharap agar kedua-dua pihak dapat berjumpa dan mengaturkan semula program agar dapat dibuat sekali lagi,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor, di Johor Bahru hari ini.

Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa beliau dilarang memasuki kawasan kampus induk Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi menghadiri sesi dialog.

Pada Khamis, bekas menteri belia dan sukan itu dilaporkan berkata pihaknya kesal kerana dihalang sedangkan hanya mahu mendengar suara mahasiswa selain membincangkan beberapa isu berkaitan dengan mereka.

Semalam, UiTM dipetik sebagai berkata Mahasiswa Demokratik Malaysia yang menganjurkan sesi dialog #JelajahMansuhAUKU di universiti tersebut, tidak menggunakan saluran rasmi memohon mengadakan program di Kampus Shah Alam.

Naib Canselor UiTM Prof Dr Roziah Janor dipetik sebagai berkata sepatutnya aktiviti pihak luar perlu mendapat kelulusan daripada universiti. – Bernama, 1 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen