Pemberontak di DR Congo bunuh 17 tebusan


SERAMAI 17 tebusan mati dibunuh kumpulan militan di DR Congo pada Ahad, kata penduduk tempatan.

Pemberontak CODECO membunuh sekurang-kurangnya 17 orang yang ditawan di wilayah Djugu yang terletak kira-kira 45 kilometer di utara Bunia di Ituri, kata ketua masyarakat, Banguneni Gbalande kepada AFP.

Gbalande berkata perkara itu dimaklumkan oleh keluarga beberapa mangsa yang terbunuh. Mereka diculik selepas tiga anggota CODECO maut dalam pertempuran dengan satu lagi kumpulan pemberontak pada Sabtu.

Antara yang dijadikan tebusan adalah wanita mengandung, menurut sumber yang mahu namanya dirahsiakan atas faktor keselamatan.

CODECO atau Kerjasama Pembangunan Congo merupakan salah satu daripada banyak kumpulan bersenjata yang beroperasi di kawasan bergolak yang kaya dengan mineral di DR Congo.

Pemberontak  CODECO mendakwa mereka melindungi masyarakat Lendu daripada puak etnik Hema dan tentera.

Wilayah Ituri adalah salah satu daripada kawasan panas yang sering berlaku keganasan yang kebiasaannya meragut puluhan nyawa. – AFP, 27 Mac 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen