Taliban bunuh 3 militan Isis dalam insiden berbalas tembakan


Menurut pihak polis, tiga anggota Isis terbunuh dan dua pejuang Taliban cedera dalam pertempuran yang meletus di bandar Herat, barat Afghanistan. – Gambar EPA, 24 Oktober 2021.

TENTERA Taliban bertempur selama tiga jam dengan kumpulan militan Isis hari ini, membunuh tiga daripada mereka, kata pegawai.

Menurut Komando Polis Herat dalam satu kenyataaan, pertempuran itu meletus di bandar Herat, barat Afghanistan ketika pejuang pemerintah Taliban mengepung kumpulan berkenaan di sebuah bangunan tinggi.

Penduduk tempatan berkata mereka mendengar tembakan daripada senjata ringan dan berat yang digunakan dalam pertempuran itu.

Menurut pihak polis, tiga anggota Isis terbunuh dan dua pejuang Taliban cedera dalam pertempuran itu.

Video yang tersebar di media sosial menunjukkan sekurang-kurangnya seorang suspek ditembak mati selepas dia ditahan dan dilucutkan senjata, semasa pergelutan dengan penculiknya.

Rakaman itu juga menunjukkan kejayaan pasukan Taliban dengan membawa tiga mayat di belakang trak pikap sambil disambut penyokong yang bersorak bersama skuter mereka.

Jurucakap kementerian dalam negeri Qari Sayed Khosti menulis di Twitter bahawa ketiga-tiga anggota Isis-Khorasan (IS-K) itu terlibat dalam penculikan besar di seluruh wilayah Herat.

“Pasukan khas mengepung mereka, dan mereka mula melepaskan tembakan. Anggota militan itu terbunuh dalam insiden berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan.”

Taliban merampas kekuasaan di Afghanistan pada pertengahan Ogos, menggulingkan kerajaan yang disokong Amerika Syarikat dan berjanji untuk memulihkan kestabilan selepas perang selama 20 tahun.

Tetapi usaha mereka terganggu susulan beberapa serangan dilancarkan oleh IS-K, satu lagi kumpulan penentang Taliban. – AFP, 24 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen