Sarjan mengaku tidak bersalah atas 34 tuduhan rasuah 


SEORANG anggota polis berpangkat Sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu hari ini, terhadap 34 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM12,500 pada 2019 hingga tahun lepas.

Mohd Izzham Halim, 36, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Dia didakwa menerima suapan antara RM50 hingga RM3,200 daripada seorang individu melalui akaun bank, sebagai dorongan untuk menyalurkan maklumat pergerakan operasi pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Kemaman antara 26 Disember 2019 hingga 10 Mac tahun lepas.

Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan Mohd Izzham diikat jamin RM11,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri ke pejabat SPRM setiap bulan, selain menetapkan 3 April ini sebagai tarikh sebutan semula untuk pengurusan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh dan Nur Athikah Aziz manakala tertuduh diwakili peguam Nurul Najmi Adila Md Nasir.

Sementara itu, di mahkamah sama seorang pengurus syarikat Ezza Suria Muda, 38, didenda RM25,000 selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan memalsukan dokumen tiga tahun lepas.

Bagi dua pertuduhan itu, dia didakwa menggunakan dokumen sebagai tulen iaitu Borang Pendaftaran Pekerja di bawah Peraturan-peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja 1971 (Peraturan 10, 12 dan 12A), bertarikh 3 Nov 2020 dan 23 Nov 2020 di Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Timur, Hulu Terengganu pada November 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara  maksimum dua tahun atau denda atau keduanya sekali, jika sabit kesalahan.

Hakim Mohd Azhar juga memutuskan wang berjumlah RM309,000 di dalam akaun syarikat tertuduh, dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh, manakala Ezza Suria diwakili peguam Syed Azimal Amir dan Ahmad Fauzi Mohamed. – Bernama, 14 Mac, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen