Hapus rasuah dengan dana politik negara


DI sana korupsi, di sini korupsi.

Itulah yang terjadi pada negara kita Malaysia hari ini. Politik kita mempunyai persepsi ‘wujudnya korupsi’ yang tak terkendalikan, tidak hanya dalam kalangan rakyat Malaysia sahaja, tetapi di mata rakyat dunia. 

Ini bukan cakap kosong, tapi para pembaca boleh cari datanya di internet.

Akhbar cetak dan elektronik tempatan dan global turut tidak terlepas mengangkat tajuk berita mengenai korupsi yang dikatakan berlaku di negara kita yang tercinta ini.

Isu hangat yang tidak terlalu baru, dan tidak pula terlalu lama adalah mengenai parti politik yang mengambil kesempatan menjebak organisasi mereka dengan korupsi.

Tidak usah penulis sebutkan parti politik mana, para pembaca yang bijak pandai pasti tahu. Lagi pula, terpampang di mana-mana tajuk artikel akhbar tempatan.

Antara kekotoran yang dilakukan adalah dari segi pendanaan pilihan raya terhadap parti yang bertanding.

Tentang pendanaan politik, ini merupakan ruangan yang sangat bermanfaat bagi kelompok elit. Ya, elit yang menguasai ekonomi negara. 

Setiap kali pilihan raya berlangsung, pasti akan ada perbincangan antara individu-individu elit ekonomi dengan ahli politik yang matlamatnya wang dan kuasa.

Ahli politik inginkan kuasa, manakala elit ekonomi inginkan wang.

Inilah antara masalah yang akan timbul apabila parti politik mempunyai autonomi untuk mendapatkan dana luar. Ia tak hanya berkesudahan dengan korupsi, tetapi juga keruntuhan sistem politik yang adil dan memihak kepada rakyat.

Ahli politik pada akhirnya menjadi rakan subahat kepada kelompok elit ekonomi yang mahu mengkayakan diri, kalaupun tidak menjadi boneka kepada elit ekonomi yang mempunyai kuasa wang untuk memastikan kemandirian sesebuah parti politik yang “miskin wang” dan juga “miskin pendirian”.

Oleh itu, antara solusi kepada permasalahan ini adalah pendanaan politik oleh negara kepada parti politik setiap kali pilihan raya berlangsung.

Dengan jumlah pendanaan yang adil buat semua parti, mereka tidak dibenarkan lagi untuk melakukan perbincangan dengan elit ekonomi yang akan meruntuhkan moral politik di negara kita.

Kita juga dapat menghapuskan bentuk kekuasaan oligarki dalam sistem politik negara kita. 

Jika berterusan tanpa ada jalan penyelesaian, negara kita akan berdepan kemusnahan, kerana rakyat tidak lagi memiliki hak terhadap negara yang mereka bangunkan.

Penulis mendengar mengenai cadangan ini ketika menjadi moderator sebuah diskusi atas talian yang dianjurkan oleh organisasi Suara Mahasiswa UMS, iaitu ketika Raja Ahmad Aminullah menjadi panel jemputan dalam acara tersebut. 

Beliau optimis dengan pendapat tersebut, dan penulis sendiri menganggap itu merupakan jalan keluar yang pertama dari labirin kebobrokan politik yang kita hadapi di negara ini. 

Tidak ada alasan untuk kita menolak cadangan seperti itu, terutamanya apabila ia dapat menahan bentuk pembelengguan politik yang memberi dampak negatif kepada rakyat negara ini.

Namun, mengapa metod sebegini masih tidak dilaksanakan?

Atau parti politik di negara kita tidak dapat hidup tanpa elit?

Apakah alasannya? Penulis tidak percaya jika idea yang bernas sebegini tidak terfikirkan oleh ahli politik yang sering melaungkan kata perjuangan dan keadilan rakyat.

Tetapi, jika mereka jujur dan tulus ingin mewujudkan perubahan dan perbaikkan buat rakyat, jalan keluarnya telah banyak disarankan oleh para intelektual kritis di negara kita. Tinggal hanya laksanakan.

Korupsi oh korupsi, bilakah ia akan pudar dalam sejarah negara? – 14 Mac 2023.

* Izzat Dahelan, pembaca The Malaysian Insight

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen