KWSP isytihar dividen konvensional 5.35%, syariah 4.75%


KWSP mengisytiharkan kadar dividen 5.35% untuk simpanan konvensional dan 4.75% untuk simpanan syariah bagi 2022. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mac, 2023.

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengisytiharkan kadar dividen 5.35% untuk simpanan konvensional dan 4.75% untuk simpanan syariah bagi 2022.

Jumlah pembayaran untuk simpanan konvensional berjumlah RM45.44 bilion dan RM5.7 bilion untuk simpanan syariah.

Secara keseluruhan pembayaran dana persaraan untuk 2022 berjumlah RM51.14 bilion.

Tahun lepas KWSP mengisytiharkan dividen sebanyak 6.1% untuk simpanan konvensional (untuk tahun 2021) dan 5.65% untuk simpanan syariah.

Sepanjang 10 tahun yang lalu pembayaran dividen KWSP untuk simpanan konvensional sebanyak 5.8% pada 2010 diikuti 6% (2011), 6.15% (2012), 6.35% (2013), 6.75% (2014), 6.4% (2015), 5.7 % (2016), 6.9% (2017), 6.15% (2018), 5.45% (2019) dan 5.2% (2020).

Bagi simpanan syariah ia mencatatkan dividen sebanyak 6.4% pada 2017, 5.9% (2018), 5% (2019) dan 4.9% (2020). 

Sebelum ini pakar ekonomi dilaporkan berkata pulangan dividen KWSP berkemungkinan lebih rendah pada 5.0-5.5% berikutan prestasi buruk pasaran saham tempatan tahun lepas.

Mereka juga mengaitkan dividen yang lebih rendah kepada pengeluaran dari 2020 hingga awal 2022 melalui empat program khas.

Pengeluaran KWSP sehingga RM10,000 untuk setiap ahli dibenarkan tahun lepas berikutan skim i-Lestari dan i-Sinar pada 2020 dan i-Citra pada Julai 2021. – 4 Mac, 2023.
 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen