PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini mengumumkan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) tahun lalu sebanyak 3% bagi dua produk simpanan iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus.
Pengerusinya Wan Saiful Wan Jan berkata ia membabitkan pemberian dividen dengan anggaran peruntukan RM206.25 juta dan akan memberi manfaat kepada 5.24 juta pendeposit PTPTN.
“Kadar dividen yang diberikan kepada pendeposit Simpan SSPN berdasarkan kepada pulangan bersih pelaburan yang dibuat atas deposit yang diterima oleh PTPTN.
“Dividen yang diberikan ini masih lagi kompetitif berbanding keuntungan akaun semasa dan simpanan tetap. Ia juga mengambil kira mandat pelaburan PTPTN yang dibenarkan adalah terhad dalam pasaran wang dan pasaran sukuk,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengumumkan dividen Simpan SSPN 2021 dan melancarkan ganjaran kesetiaan Simpan SSPN Prime 2022 yang dihadiri Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Ketua Pegawai Operasinya Mastura Mohd Khalid.
Wan Saiful berkata, pemberian dividen pada kadar 3% itu jelas menunjukkan Simpan SSPN tetap mempunyai daya saing berbanding produk simpanan lain yang ditawarkan di pasaran walaupun dalam ekonomi negara tidak menentu.
Beliau turut berharap ini dapat menarik minat masyarakat Malaysia untuk menjadikan Simpan SSPN sebagai pilihan utama simpanan pendidikan anak-anak.
Katanya, selain pemberian dividen, Simpan SSPN turut menawarkan pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful dan geran sepadan secara percuma sehingga RM10,000 bagi tiap keluarga yang layak.
Sementara itu, Wan Saiful turut melancarkan Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2022 pada kadar 1% sebagai tanda penghargaan PTPTN kepada pendeposit yang membuat simpanan dalam jangka masa panjang.
Beliau berkata, tempoh promosi bermula 22 Februari sehingga 30 April tahun ini dan layak disertai oleh pendeposit yang membuka akaun Simpan SSPN Prime dari 2004 hingga 31 Disember 2018.
Katanya, ganjaran kesetiaan itu akan dinikmati pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuat simpanan terkumpul dalam tempoh promosi dengan jumlah minimum RM500 dan sangat berbaloi sebagai pulangan tambahan selain dividen tahunan. – Bernama, 22 Februari, 2022.
Komen