KWSP umum 6.10% dividen 2021, 5.65% untuk syariah


KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 6.10% untuk pencarum bagi tahun 2021.

Dividen yang dibayar untuk tahun sebelumnya ialah 5.2%.

Sebanyak RM50.45 bilion akan diperuntukkan bagi pembayaran ini.

Bagi mereka yang mencarum di bawah dana syariah, dividen bagi 2021 ialah 5.65%, dengan jumlah pembayaran berjumlah RM6.27 bilion.

Sebelum ini penganalisis meramalkan bahawa dividen KWSP untuk tahun lepas adalah kira-kira 6% berikutan pendapatan pelaburan bersih sembilan bulan pertama pada 2021 meningkat sebanyak 26%.

KWSP juga menyaksikan prestasi positif pasaran ekuiti domestik dan global pada suku keempat.

Pencarum telah mengeluarkan RM67.6 bilion daripada KWSP di bawah skim i-Sinar dan i-Citra pada suku ketiga 2021.

Dalam 10 tahun terakhir, dividen tertinggi yang diumumkan oleh dana berkenaan adalah pada 2017, iaitu 6.9%.

Pada 2012 ia mencatatkan dividen 6.15%, 2013 (6.35%), 2014 (6.75%), 2015 (6.4%), 2016 (5.7%), 2018 (6.15%), 2019 (5.45%) dan 2020 (5.20%) .

Sementara itu, dividen untuk simpanan syariah kekal rendah berbanding dengan simpanan konvensional.

Pada 2017, KWSP mengumumkan dividen 6.4% untuk simpanan syariah, pada 2018 (5.9%), 2019 (5%), 2020 (4.9%) dan 2021 (5.45%).

Bulan lepas, KWSP mengumumkan telah mencatat jumlah pendapatan pelaburan kasar RM48.02 bilion untuk sembilan bulan pertama 2021 berakhir 30 September.

Sehingga September 2021, aset pelaburan KWSP berjumlah RM988.55 bilion, yang mana 36% dilaburkan dalam pelaburan luar negara.

KWSP berkata tahun ini, ia akan mempercepatkan usaha membantu ahli membina semula simpanan persaraan serta meluaskan jaringan keselamatan sosialnya dengan bekerjasama rapat dengan kerajaan dan agensi berkaitan.

Sehingga Disember tahun lepas, KWSP berkata kira-kira 6.1 juta ahlinya mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP mereka, yang mana 3.6 juta daripadanya mempunyai kurang daripada RM1,000.

Ia sangat kurang daripada simpanan asas yang disyorkan KWSP sebanyak RM240,000, yang hanya mempunyai RM1,000 sebulan selama 20 tahun selepas bersara. – 2 Mac, 2022.

 
 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen