AHLI Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung memberikan tiga cadangan bagi menangani isu majoriti ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mempunyai baki simpanan persaraan rendah.
Beliau berkata sehingga akhir 2022 sebanyak 6.67 juta atau 51.5% ahli KWSP hanya mempunyai simpanan di bawah RM10,000.
Nilai ini katanya jauh lebih sedikit berbanding dengan sasaran RM240,000 untuk simpanan asas.
Lee mencadangkan KWSP mengkaji pelaksanaan dividen bertingkat (Tiered Dividend) bagi mengatasi isu ini.
Beliau berkata dasar ini akan memberikan dividen yang paling tinggi kepada caruman simpanan RM50,000 pertama, simpanan RM50,000 hingga RM240,000 (sasaran simpanan asas), dan simpanan RM240,000 ke atas.
“Jika pencarum mempunyai simpanan lebih RM1 juta, beliau masih boleh mendapat dividen yang tinggi untuk RM50,000 simpanannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Cadangan Lee itu merujuk kepada gesaan beberapa pihak supaya kerajaan membenarkan pengeluaran wang KWSP mereka.
Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran KWSP melalui empat siri kemudahan – i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas – membabitkan jumlah keseluruhan RM145 bilion ketika pandemik Covid-19.
Ahli Parlimen PKR itu menambah, isu ahli KWSP yang mempunyai simpanan rendah juga boleh ditangani dengan meningkatkan mandat pelaburan luar.
“Pada 2021, KWSP mencapai pulangan 8.64% untuk pelaburan antarabangsa, manakala pulangan pelaburan tempatan hanya sekadar 5.02% .
“Peningkatan mandat pelaburan di peringkat antarabangsa akan menjadikan KWSP lebih produktif, di samping lebih profesional,” katanya.
Beliau seterusnya berkata KWSP boleh mengehadkan pengeluaran ahli selepas mencapai umur 55 tahun mengikut jumlah caruman serta mengambil kira keperluan persaraan.
Tambahnya, daripada menumpukan perdebatan sama ada pengeluaran tambahan harus dibenarkan, adalah lebih baik semua pihak menumpukan cara untuk mencukupkan caruman apabila jutaan pencarum mencapai umur persaraan.
“KWSP sebagai pelaksana wajar tumpukan tenaga mereka untuk meningkatkan pulangan dan memberikan kesedaran/kecelikan dalam pengurusan persaraan rakyat kita.
“Pengeluaran berterusan adalah umpama membunuh angsa bertelur emas.
“Ianya bukan sahaja melepaskan peluang untuk menambahkan aset pencarum, malah juga memerlukan antara 3 hingga 5 tahun untuk paras simpanan kembali ke paras asal,” jelasnya. – 26 Januari 2023.
Komen