AKTIVIS kesatuan sekerja Maghribi membuat bantahan semalam di ibu negara Rabat dan bandar-bandar lain bagi memprotes kenaikan kos makanan dan bahan api sekali gus mengingkari larangan kerajaan mengadakan perhimpunan.
Penunjuk perasaan dari Konfederasi Buruh Demokratik (CDT) mengadakan perhimpunan di luar pejabat mereka di Rabat dan Casablanca serta bandar-bandar lain, kata anggota kanan CDT Rajae Kassab.
Maghribi mengharamkan perhimpunan susulan darurat kesihatan yang dilaksanakan semasa pandemik Covid-19 dan masih berkuat kuasa, menurut surat daripada kementerian dalam negeri kepada CDT yang dilihat oleh AFP.
Di Rabat beberapa penunjuk perasaan yang dikelilingi oleh pegawai polis melaungkan slogan menentang “kemerosotan kuasa beli”.
Maghribi menyaksikan kenaikan harga selama berbulan-bulan dan permintaan yang semakin meningkat untuk menghadkan keuntungan firma tenaga.
Kos makanan yang melambung tinggi sejak kebelakangan ini mendapat kritikan hebat daripada kesatuan sekerja, pembangkang dan media.
Inflasi memuncak pada 8.3% pada akhir tahun lepas didorong oleh kesan perang di Ukraine dan peralihan dalam rantaian bekalan global, kata Bank Dunia.
Perdana Menteri Aziz Akhannouch berjanji untuk menguatkan kawalan pasaran dan menurunkan harga dalam beberapa hari akan datang serta subsidi dikeluarkan untuk keperluan asas seperti petrol, gas dan tepung. – AFP, 20 Februari, 2023.
Komen