MAGHRIBI menjejaskan impian Belgium pada Piala Dunia apabila gol lewat Abdelhamid Sabiri dan Zakaria Abouhlal memastikan kemenangan mengejut 2-0 di Doha pada Ahad.
Belgium, yang menghuni tangga ketiga di Russia empat tahun lalu, boleh layak ke pusingan 16 terakhir jika menang tetapi sebaliknya mempamerkan satu lagi persembahan hambar selepas bernasib baik menang pada aksi pertama mereka menentang Kanada.
Pemain gantian Sabiri muncul wira menerusi sepakan percuma pada minit ke-73 yang menyaksikan penjaga gol lawan Thibaut Courtois terpedaya apabila bola melantun masuk di penjuru gol, sebelum Aboukhlal meraih gol kedua pada masa kecederaan.
Puluhan ribu penyokong Maghribi meraikan kemenangan bergaya itu dengan menyorak pemain mereka dalam perjalanan pulang dari Stadium Al Thumama.
Maghribi merampas kedudukan Belgium di tangga teratas Kumpulan F dan sedar mereka akan layak ke pusingan kalah mati buat kali pertama sejak 1986 jika mereka mengelak kekalahan di tangan Kanada pada Khamis.
Belgium, pasukan ranking kedua dunia, perlu menewaskan naib juara 2018 Croatia untuk memastikan kemaraan.
Pasukan kendalian Roberto Martinez yang semakin berusia itu layak sekurang-kurangnya ke suku akhir dalam empat kejohanan utama terakhir.
Belgium, yang mana kaptennya Eden Hazard mengakui tidak sehebat pada 2018, kurang bersemangat dan terpaksa menerima padah.
Maghribi bagaimanapun mengalami tamparan selepas lagu kebangsaan apabila penjaga gol Yassine Bounou memberi isyarat dia tidak boleh beraksi. Munir El Kajoui yang berpengalaman dibawa masuk menggantikannya. – AFP, 27 November, 2022.
Komen