Perancis benam impian Maghribi ke final Piala Dunia


Pemain Perancis Theo Hernandez meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol pertama pasukannya dalam perlawanan separuh akhir Piala Dunia menentang Maghribi di Stadium Al-Bayt. – Gambar AFP, 14 Disember, 2022.

PERANCIS menamatkan impian Maghribi untuk mara ke final Piala Dunia menerusi sepakan gol Theo Hernandez dan Randal Kolo Muani yang memberi kemenangan 2-0 untuk juara bertahan itu dalam aksi separuh akhir.

Kemenangan itu sekali gus bakal membawa kepada perlawanan antara Perancis dengan Argentina diketuai Lionel Messi pada final Ahad ini.

Perancis mematikan langkah lawan mereka seawal minit ke-5 apabila Hernandez menjaringkan gol di Stadium Al Bayt di sebalik penyokong Maghribi lebih ramai memenuhi stadium.

Tetapi Maghribi yang merupakan pasukan Afrika dan Arab pertama mara ke pusingan empat terakhir Piala Dunia terus berjuang walaupun kehilangan pemain utama akibat kecederaan.

Perancis yang telah mara ke final Piala Dunia untuk kali keempat dalam tujuh edisi berharap untuk menjadi pasukan pertama sejak Brazil 60 tahun lalu yang dapat mengekalkan kejuaraan mereka menentang Argentina di Stadium Lusail Ahad ini.

“Terdapat banyak emosi dan kebanggaan di dalam pasukan ini.

“Ia adalah satu langkah penting tetapi masih ada satu perlawanan lagi,” kata jurulatih Didier Deschamps yang menyaksikan pasukannya menerima ucapan tahniah oleh Presiden Perancis Emmanuel Macron. – AFP, 14 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen