Pupuk nilai anti rasuah pada anak-anak kita, kata Dr Mahathir


Amin Iskandar

BUDAYA rasuah dalam kalangan rakyat Malaysia sudah semakin buruk dan dilakukan secara terang-terangan dan anak-anak harus dididik sejak kecil supaya membenci amalam itu, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata, apabila nilai hidup masyarakat sudah menganggap rasuah sebagai satu jenayah, semakin ramai tidak akan melakukan perbuatan ini kerana dianggap sebagai satu kesalahan.

“Untuk ini kepercayaan bahawa rasuah adalah jenayah perlu disemaikan dalam kalangan anak-anak kita supaya apabila mereka membesar, mereka dengan sendirinya mendisiplinkan diri menolak rasuah.

“Apabila kita sampai ke tahap itu, maka besar kemungkinan kita dapat kuasai keadaan dan kita dapat kurangkan rasuah,” kata Dr Mahathir dalam “Policy Talk: Najis rasuah, jalan penyelesaian?” yang disiarkan secara langsung melalui akaun Facebook rasminya.

Dr Mahathir berkata, terdapat sesetengah bangsa dan negara di mana amalan rasuah tidak begitu banyak dilakukan.

“Kerana mereka dengan sendirinya menolak rasuah, bukan kerana undang-undang, tetapi menganggap rasuah itu sebagai satu kesalahan besar, satu perkara yang berdosa.

“Dan mereka tidak akan lakukan. Mereka akan kawal diri daripada terlibat dengan rasuah,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, Malaysia memerlukan nilai seperti ini dan menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menyemai budaya benci rasuah kepada anak-anak mereka.

“Apabila mereka membesar maka mereka akan tolak rasuah dengan sendirinya. Bagi yang dewasa, tak dapat tidak kita perlu guna undang-undang.

“Dan kita perlu selidik secara bebas akan kes-kes yang dilaporkan berkenaan dengan rasuah,” katanya.

Dr Mahathir berkata, Malaysia sudah jatuh ke tahap yang rendah apabila seluruh dunia menuduh pemimpin tertinggi negara terlibat dengan rasuah.

“Cuma di Malaysia sahaja tiada laporan kerana ditegah. Ini pun satu rasuah jugak.

“Menegah laporan benar adalah satu cara untuk memperluaskan amalan rasuah,” katanya. – 14 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen