Kekuatan suara rakyat memecah kekalutan politik negara


Fakhrurrazi Rashid

DINAMIK politik Malaysia yang kian berubah dan rencam sejak 2018, dengan kedudukan politik 50-50 dan Parlimen tergantung seperti keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memberi tekanan kepada pemimpin politik supaya lebih bertanggungjawab dan cermat dalam membuat sesuatu keputusan.

Bak kata pepatah, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, badan binasa. 

Tapi, dalam bahasa politik, “terlajak kata boleh riuh satu negara”. Sebab itu, dalam membuat apa-apa keputusan politik, pemimpin perlu fikir dan berbincang sebanyak mungkin sebelum memberitahu rakyat tentang perancangan bakal dilaksanakan.

Itulah situasi yang dirasai sebahagian besar rakyat Malaysia. Pemimpin politik dalam kerajaan dan pembangkang menonjolkan kelemahan dalam membuat keputusan sehingga mencipta kekeliruan dan rasa tidak senang orang awam.

Faktanya, rakyat Malaysia hari ini lebih kritikal dalam mengkritik kelemahan keputusan gelojoh dibuat pemimpin politik yang dilihat bercanggah dengan prinsip dan asas diperjuangkan selama ini. 

Kekuatan suara rakyat telah menjadi alat berkesan memecah kekalutan politik negara.

Terus terduduk malu

Pelantikan kontroversi penasihat perdana menteri ke-10 baru-baru ini mendapat perhatian rakyat. Ia berlaku kerana terdapat elemen bercanggah dengan prinsip pemerintahan berintegriti dan telus.

Ironinya, segelintir penyokong setia dan pemimpin parti pro-Kerajaan  Perpaduan bermati-matian mempertahankan pelantikan penasihat Perdana Menteri kontroversi itu yang bercanggah dengan prinsip diperjuangkan lebih dua dekad. Sehingga cerdik pandai pun tiba-tiba menyokong perkara tidak betul.

Akhirnya, kebanyakan penyokong dan pemimpin kerajaan ‘terduduk’ malu kerana individu punya badan dengan sukarela meletakkan jawatan sebagai penasihat perdana menteri dan hanya menerima peranan sebagai sekretariat yang menyokong kerja-kerja badan penasihat Perdana Menteri.

Lebih menjengkelkan lagi apabila segelintir penyokong tegar parti pemerintah mempertahankan nepotisme dengan alasan jawatan itu berstatus pro bono atau ‘tidak dibayar’ gaji.

Pertahankan isu bercanggah dengan prinsip asas adalah satu tindakan tidak bijak. Disiplin parti bukan bermaksud sesebuah parti perlu memberitahu perkara yang tidak jujur kepada rakyat demi pertahankan keputusan pemimpin yang tidak betul.

Disebabkan tekanan kuat daripada rakyat, isu ini berakhir dengan peletakan jawatan. Namun, isu ini menjejaskan akauntabiliti Kerajaan Perpaduan pada mata masyarakat.

PN buat u-turn

Blok pembangkang Perikatan Nasional (PN) juga agak cacamarba dalam mempertahankan pembentukan Kabinet Bayangan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Pada awalnya usaha ini membuktikan PN lebih bersedia menjadi badan semak dan imbang yang lebih berkesan ke atas Kerajaan Perpaduan. 
Malah langkah tersebut lebih berani daripada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang hanya melantik jurucakap dalam sesuatu isu ketika berada di blok pembangkang. 

Namun di tengah-tengah rakyat menyambut baik pendirian ini, Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin mengambil pendirian ganjil apabila menyatakan struktur tersebut hanyalah jawatankuasa portfolio Ahli Parlimen PN dan bukan Kabinet Bayangan seperti yang diumumkan pada peringkat awal.

Tindakan ini dipersoalkan sebahagian besar rakyat yang melihat PN tidak konsisten dalam menggunakan konsep Kabinet Bayangan itu sendiri.

Adakah pendirian ini hadir setelah rakyat mengkritik komposisi Ahli Parlimen yang dilantik dalam Kabinet Bayangan yang tidak seimbang dari bentuk perwakilannya? atau PN takut menunjukkan wajah ‘government in waiting’ yang tidak mencerminkan kepelbagaian rakyat Malaysia?

Ternyata PN juga gerun dengan suara rakyat sehingga terpaksa membuat pusingan ‘u-turn’ dalam isu Kabinet Bayangan. 

Tidak masuk akal sekiranya PN berharap kepada gelombang hijau semata-mata untuk membuat perubahan politik jika gabungan itu tidak berjaya menyusun strukturnya sendiri seperti Kabinet Bayangan.

Peranan rakyat bertambah luas

Kekalutan yang berlaku dalam Kerajaan Perpaduan dan Pembangkang hari ini datang daripada keberanian rakyat yang berani bersuara melontarkan pandangan dalam setiap keputusan dibuat pemimpin politik kerajaan mahupun pembangkang. Ini satu perkembangan yang baik buat demokrasi negara.

Tanpa penyertaan rakyat dalam menzahirkan pandangan, mungkin amalan tidak jujur dalam melantik penasihat Perdana Menteri berterusan. 

PN pula terus selesa dengan politik sempit sehingga gagal pertahankan kekuatan Kabinet Bayangan. 

Malah, lebih banyak lagi perbuatan yang sumbang dilakukan pemimpin politik demi memenuhi matlamat kuasanya.

Biarlah kekuatan rakyat kian bertambah dalam keadaan situasi politik yang luar biasa era ini. 

Keberanian menegur setiap tindakan dibuat aktor-aktor politik sebenarnya membuktikan bahawa pengundi hari ini kian peduli akan hala tuju dan perkembangan politik semasa negara.

Malah keberkesanan suara rakyat yang bersifat kolektif dan pelbagai dalam memberi pandangan politik ini adalah alat terbaik bagi mendidik pemimpin dan parti politik bersifat cermat dan bertanggungjawab dalam membuat sesuatu keputusan.

Apa yang lebih mustahak, pembinaan negara yang berteraskan konsep Madani, seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, harus diterjemahkan dengan nilai kejujuran dan manusiawi dalam mengangkat agenda rakyat. 

Janganlah membina negara dengan unsur-unsur tidak jujur kerana ia akan membinasakan generasi akan datang yang terpaksa menanggung beban akibat kecuaian pemimpin politik hari ini dalam membuat keputusan yang tepat dan berintegriti. 

Paksi kejujuran walaupun pahit dan sukar dibuat sekali pun adalah pintu kejayaan politik dalam proses membangunkan Malaysia yang lebih baik. 

Hilang kuasa dalam politik itu satu lumrah biasa dalam sesebuah negara demokrasi. Hilang prinsip dalam berpolitik boleh jadi negara akan hilang maruah dan gelaplah masa depan generasi akan datang. 

Persoalannya apakah suara-suara rakyat ini akan membentuk satu perspektif baharu dalam enam pilihan raya negeri yang bakal berlangsung tidak lama lagi? 

Atau ia hanyalah cakap-cakap di ruang awam dan media sosial dan tidak diterjemahkan dalam bentuk kuasa mengundi? – 16 Februari 2023. 

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen