Apa peranan penasihat perdana menteri?


Fakhrurrazi Rashid

JARANG kita lihat pelantikan penasihat perdana menteri mendapat perhatian umum secara besar-besaran. Kali terakhir rakyat mengikuti isu berkaitan penasihat perdana menteri adalah ketika skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) mula meletup.  

Mana tidaknya, Jho Low yang didakwa sebagai penasihat ‘tidak rasmi’ bekas perdana menteri Najib Razak telah melakukan dosa besar kepada negara Kelicikannya menyebabkan penyelewengan besar dana 1MDB berlaku sampai Malaysia digelar negara pencuri atau kleptokrasi. 

Bekas ketua pegawai kewangan 1MDB Azmi Tahir memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jho Low mendapat mandat daripada perdana menteri, termasuk rancangan sulit dalam memilih pemimpin dalam 1MDB. Azmi mendakwa sistem ini agak berlapis dan Jho Low punyai peranan besar dalam mempengaruhi keputusan Najib.

Sejak isu 1MDB, seluruh rakyat Malaysia berhati-hati memilih pemimpin. Isu ini mengubah landskap negara yang amat menekankan sebuah kerajaan berintegriti dan bebas rasuah. Sampai sekarang, Jho Low masih belum ditangkap. Pelik sungguh. 

Kalau baca cerita Jho Low dan penasihat perdana menteri yang lain, jawatan ini mempunyai pengaruh yang cukup besar dalam pentadbiran negara. Tapi,  apakah fungsi penasihat perdana menteri? Apakah skop tugasnya dan kepada pihak mana yang dia perlu menjawab? 

Penasihat perdana menteri adalah individu yang dilantik bagi menyokong kerja-kerja dasar dan politik perdana menteri dan kabinetnya. Ia berbeza dengan penjawat awam yang fokus kepada urusan birokrasi kerajaan. 

Kitchen cabinet” adalah istilah popular digunakan untuk penasihat kerajaan. Ia bermaksud kumpulan kecil paling rapat dan dipercayai perdana menteri dalam membincangkan perancangan dan strategi politik secara belakang tadbir. Hakikatnya, peranan penasihat kerajaan adalah satu perkara biasa dalam sistem demokrasi berparlimen.  

Berdasarkan ulasan badan pemikir United Kingdom (UK) Institute of Government, penasihat perdana menteri berperanan merangka dasar awam secara mendalam dalam tempoh jangka panjang, memberi penerangan kepada parti politik kerajaan tentang dasar-dasar yang akan dilaksanakan, dan mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh.  

Fungsi penasihat ini adalah amalan konvensyen biasa di UK dan mungkin berbeza mengikut negara lain. Penasihat kerajaan di UK lebih berpengaruh dalam jentera kerajaan. Malah, perdana menteri lebih kerap berjumpa dan berbincang dengan penasihat berbanding jemaah menteri.

Ini membuatkan penasihat mempunyai akses lebih luas kepada perdana menteri yang tidak dibatasi dengan peraturan yang jelas seperti penjawat awam dan menteri Kabinet. 

Trend UK dan Malaysia

Kajian dibuat Institue of Government  menunjukkan jumlah penasihat khas kerajaan UK meningkat kepada 126 orang pada Jun 2022 berbanding 117 orang pada 2011.
 
Perdana menteri UK mempunyai jumlah penasihat yang ramai: Boris Johnson mempunyai 43 orang penasihat di bawah Unit Dasar Pejabat Perdana Menteri, Tony Blair dan Gordon Brown pula mempunyai lebih 70 orang penasihat.  

Berapa pula gaji penasihat kerajaan UK? Kerajaan UK  pada 2021/2022 membayar kesemua penasihat kerajaan Boris Johnson berjumlah £12.7 juta – dengan kadar gaji antara  £40,000 hingga  £145,000 sebulan. 

Bagaimana pula Malaysia? Jumlah penasihat perdana menteri bergantung kepada keperluan pentadbiran masing-masing. Berdasarkan jawapan Parlimen, Najib mempunyai 16 orang penasihat sepanjang dua penggal berkhidmat sebagai perdana menteri. Pada 2018, dia mempunyai 10 orang penasihat yang gajinya ditanggung kerajaan sebanyak RM 244,791 sebulan atau RM 2.93 juta setahun.  

Kerajaan Ismail Sabri pula mempunyai lima penasihat khas dengan kos sebanyak RM 136,136 sebulan sepanjang berkhidmat dua tahun di Putrajaya, iaitu lebih tinggi berbanding kerajaan Muhyiddin Yassin yang turut mengambil lima orang penasihat dengan kos perbelanjaan berjumlah RM 127,113.47 sebulan.  

Namun, rakyat amat kecewa dengan “scheme of things” pentadbiran Muhyiddin yang melantik penasihat perdana menteri untuk kepentingan politiknya. 

Akauntabiliti ke atas penasihat kerajaan 

Faktanya, trend pelantikan penasihat kerajaan di UK dan Malaysia jelas menunjukkan peranan penting penasihat membantu perdana menteri dan ia juga mempunyai kesan kepada kewangan kerajaan. Ada juga penasihat perdana menteri yang tidak dibayar gaji. Contohnya, Idris Jala, penasihat Program Transformasi Nasional yang tidak menerima bayaran gaji selaku penasihat sewaktu zaman Najib.

Memang benar, penasihat adalah orang kepercayaan perdana menteri. Tetapi, ia tidak bermaksud penasihat boleh melakukan apa sahaja. Secara konvensyen, penasihat kerajaan tiada kuasa membuat keputusan, mengurus dana kerajaan, dan mengeluarkan arahan yang boleh melanggar etika pentadbiran awam.  

Walau apa pun, ketelusan dan tanggungjawab penasihat kerajaan menjalankan fungsinya kian dipersoalkan orang awam. 

Di UK, penganalisis politik mengkritik peranan penasihat kerajaan kerana mereka hanya perlu menjawab kepada perdana menteri. Perkara ini berlaku kerana kurangnya mekanisme semak dan imbang terhadap penasihat kerajaan. Malah, tiada peraturan dan garis panduan yang jelas untuk mengawal kuasa  penasihat kerajaan.  

Dalam konteks Malaysia, isu integriti dan peranan penasihat perdana menteri tidak boleh diketepikan. Ia bukan soal penasihat dibayar atau tidak, kerana individu itu tetap mempengaruhi proses membuat keputusan kerajaan yang berkait rapat dengan kelancaran pentadbiran negara dan kesejahteraan rakyat. 

Kita perlu bersetuju kuasa besar diberikan kepada penasihat kerajaan perlu hadir dengan akauntibliti yang lebih kukuh. Institusi Parlimen perlu diberikan peranan semak dan imbang ke atas penasihat kerajaan dalam soal-soal dasar dan keputusan dibuat. Fungsi seperti jawatankuasa pilihan khas (JPK) perlu diperkasa dalam menyiasat penasihat kerajaan yang merupakan sebahagian daripada badan eksekutif. 

Suka atau tidak, usaha memperkasakan Parlimen dalam menepis segala masalah berkaitan penasihat perdana menteri perlu banyak dibincangkan lagi di ruang awam demi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang lagi, termasuk lantikan kontroversi di semua agensi dan jabatan kerajaan.  

Jika pemimpin dan rakyat meminggirkan asas integriti dalam lantikan penasihat perdana menteri,  yang diajar berkali-kali di dalam gudang ilmu supaya ia perlu lebih telus dan bermaruah, maka kita sedang membina sebuah negara yang berdiri atas ketidakjujuran yang boleh membinasakan generasi akan datang. – 9 Februari 2023. 

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen