Ahli Parlimen PJ ingin tingkatkan taraf hidup bandar


Ahli Parlimen PJ Lee Chean Chung berkata matlamat meningkatkan taraf hidup penduduk di situ bukan dengan lebih banyak bangunan tinggi atau kereta tetapi ruang hidup yang lebih baik untuk rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Februari, 2023.

LEE Chean Chung mempunyai rancangan untuk menangani pembangunan berlebihan, kesesakan lalu lintas, latihan belia, dan penyelenggaraan perumahan kos rendah (PPR) sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya.

Lee berkata matlamatnya adalah untuk meningkatkan taraf hidup bukan dengan lebih banyak bangunan tinggi atau kereta tetapi dengan ruang hidup yang lebih baik untuk rakyat.

“Kami pertama sekali mahu menambah baik pengangkutan awam kerana semuanya saling berkaitan di Lembah Klang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Saya juga akan bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan kerajaan negeri untuk menambah baik standard penyelenggaraan dan infrastruktur seperti taman awam.”

Lee berkata beliau akan bertanya di Parlimen mengenai status projek kontroversi lebuh raya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link).

Beliau juga akan membangkitkan soal penyelenggaraan Lebuhraya Persekutuan.

“Lebuhraya Persekutuan adalah lebuh raya yang mempunyai kadar pengguna tinggi dan sesak yang tidak diselenggara dengan baik untuk kereta dan motosikal. Saya akan bincangkan isu ini dengan Kementerian Kerja Raya.”

Lee berkata isu lain yang amat memerlukan perhatian ialah skim perumahan kos rendah di bandar itu.

“Kutipan sampah, tempat letak kereta yang betul, penyelenggaraan lif dan isu-isu lain perlu ditangani.

“Ada beberapa syarikat pengurusan yang tidak melalui proses pemilihan yang ketat. Kami akan bercakap dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menilai kecekapan syarikat-syarikat ini.”

Tambahnya, sebagai langkah jangka pendek, PBT akan membantu pihak berkuasa persekutuan dalam urusan kutipan sampah dan pembaikan jalan di kawasan PPR.

Bagi tempat letak kereta di pusat bandar PJ, Lee berkata sudah tiba masanya untuk melihat pengangkutan alternatif.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung bertekad untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di kawasannya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 5 Februari, 2023.

“Kita perlu mengubah gaya hidup kerana kita turut menyumbang kepada isu itu dengan memandu.

“Lebih banyak tempat letak kereta akan menyebabkan lebih ramai orang menggunakan kereta dan lebih banyak kesesakan. Ia juga akan menjadi satu pembaziran untuk menggunakan ruang hijau untuk ini.”

Beliau berkata kerajaan negeri, MBPJ dan Kementerian Pengangkutan perlu bekerjasama untuk membina rangkaian pengangkutan yang menyeluruh.

“Selain MRT, LRT dan bas, kita harus mempunyai sambungan seperti laluan pejalan kaki dan lorong basikal.”

Lee berkata akan ada pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) untuk populasi belia yang besar di Sri Setia dan Taman Medan.

Beliau berkata program akan disasarkan kepada golongan muda daripada isi rumah berpendapatan rendah untuk melengkapkan mereka dengan kemahiran yang membolehkan mereka menjadi lebih daripada sekadar pemandu e-hailing.

“Bulan depan saya akan memulakan kursus pemasangan panel solar selama dua bulan diikuti kursus lain seperti pemasangan pintar, penyelenggaraan LED, bengkel telefon pintar, kemahiran video dan lain-lain.

“Ini supaya mereka mempunyai prospek pekerjaan yang lebih baik.

“Kami berharap mereka boleh mengambil sedikit masa daripada e-hailing atau pekerjaan lain untuk datang dan mempelajari kemahiran ini.”

Lee menambah bahawa memandangkan bandar itu tidak mempunyai banyak ruang terbuka untuk kemudahan baharu, bahagian lamanya akan diperbaharui.

“Kami sedang melihat (pembaharuan bandar) bangunan lama, taman awam, medan selera seperti di PJ Old Town, Taman Medan, Seksyen 17, dan Bukit Gasing,” katanya. – 5 Februari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen