Pakatan mungkir janji batal projek PJD Link, kata penduduk


Elill Easwaran

Wakil Coalition Against PJD Link Sheikh Moqhtar Kadir berkata calon Pakatan Harapan sebelum ini tidak mengotakan janji mereka untuk membatalkan projek PJD Link walau sudah dapat undi penduduk dalam pilihan raya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 18 Julai, 2022.

KEENGGANAN kerajaan Selangor untuk membatalkan projek Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) menyebabkan penduduk terjejas tidak berpuas hati dengan calon pilihan raya Pakatan Harapan (PH) yang berjanji untuk tidak meneruskan lebuh raya itu.

Kumpulan penduduk Coalition Against PJD Link berkata mereka terkejut dengan kurangnya tindakan kerajaan PH Selangor.

Ketua kumpulan itu Sheikh Moqhtar Kadir berkata calon PH sebelum ini tidak mengotakan janji mereka untuk membatalkan projek tersebut.

“Beberapa pemimpin utama PH telah hadir dan berjanji yang kami tidak akan dengar tentang projek PJD Link lagi jika kami undi mereka.

“Tetapi kami masih dengar tentang projek itu hari ini malah tidak banyak yang telah dibuat mengenainya,” kata Sheikh Moqhtar hari ketika menyerahkan memorandum kepada Majlis Presiden PH. Memorandum itu diterima oleh Adun DAP Sungai Pelek Ronnie Liu.

Sheikh Moqhtar berkata Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran antara yang sebelum ini memberi jaminan PJD Link tidak akan dilaksana jika pengundi menyokongnya.

“Malangnya, projek itu masih diteruskan, ia tidak digugurkan walaupun kami mahu ia dihapuskan.”

Sheikh Moqhtar berkata tidak perlu tambah satu lagi lebuh raya di Petaling Jaya, malah penduduk mahukan pilihan pengangkutan awam yang banyak

Lebuh raya bertingkat itu dikatakan menghidupkan semula lebuh raya Kidex sebelum ini yang turut ditentang penduduk, dan PH di Selangor berjanji ianya tidak akan diteruskan.

Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof bagaimanapun berkata sebelum ini projek PJD Link berada di landasan yang betul. Lebuh raya yang dicadangkan itu akan merentasi Lebuhraya Persekutuan untuk menghubungkan kawasan Damansara ke Kinrara.

Exco Selangor Izham Hashim, ketika ditanya baru-baru ini mengenai status projek itu berkata rundingan itu masih dalam proses, tetapi sehingga kini tiada laporan dikemukakan oleh pemaju PJD Link kepada kerajaan Selangor. – 18 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen