Projek PJD Link masih dalam proses rundingan, kata exco Selangor


Noel Achariam

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor Izham Hasim berkata cadangan pembinaan lebuh raya PJD Link masih dalam peringkat rundingan antara pemaju dan kerajaan persekutuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mei, 2022.

CADANGAN pembinaan lebuh raya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) masih dalam peringkat rundingan antara pemaju dan kerajaan persekutuan, kata seorang exco Selangor.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor Izham Hasim berkata perkara itu dimaklumkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) kepada kerajaan negeri.

Susulan itu sehingga kini syarikat konsesi masih belum mengemukakan permohonan untuk pembentangan kedua mengani projek pembinaan lebuh raya itu kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor, katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau juga berkata syarikat konsesi perlu melaksanakan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Kajian Impak Sosial (SIA) dan  Penilaian Kesan Trafik (TIA) sebelum projek pembinaan lebuh raya tersebut dimulakan.

“Ini termasuk mengadakan sesi penglibatan bersama penduduk yang terlibat dalam jajaran dicadangkan.

“Proses pengambilan tanah juga mestilah diselesaikan terlebih dulu.

“Syarikat konsesi mesti memenuhi semua syarat sebelum pembinaan lebuh raya boleh dimulakan,” katanya.

Pada 3 April lalu, Gabungan Menentang PJD Link telah menggesa kerajaan negeri supaya menyatakan pendirian mengenai cadangan lebuh raya sepanjang 34.3km itu.

Kekeliruan berpunca susulan projek itu dilapor masih dibincangkan dalam Dewan Undangan Negeri Selangor, sedangkan kenyataan Pakatan Harapan Selangor bertarikh 3 September tahun lalu menyebut tiada sebarang usaha untuk menghidupkan semula Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) atau projek seumpamanya.

Kenyataan itu ditandatangani Menteri Besar Amirudin Shari, Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo dan Izham.

Berita berkenaan cadangan pembinaan PJD Link pertama kali dilaporkan pada hujung 2020, di mana Izham ketika itu berkata ia telah dibincangkan MMKN Selangor.

Ini mencetus persoalan kepada orang ramai adakah PJD Link akan menggantikan Kidex.

Pada Januari tahun lalu, pemaju PJD Link (M) Sdn Bhd didakwa akan menghidupkan semula rancangan untuk membina lebuh raya merentasi Petaling Jaya, dan menghubungkan kawasan di Puchong dan Bukit Jalil ke Damansara.

Ketua gabungan bantahan PJD Link Sheikh Moqhtar Kadir berkata projek itu harus dibatalkan kerana kerajaan negeri telah pun menolak projek Kidex.

“Seperti yang kita lihat, kenyataan kerajaan PH telah menolak Kidex dan mana-mana lebuh raya yang serupa dengannya.

“Jadi, kita ingin tahu kenapa PJD Link masih dibincangkan di DUN Selangor,” katanya.

Kenyataan PH tahun lalu dikeluarkan bersama Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Exco infrastruktur negeri Selangor Izham dan Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo.

Mengenai sama ada PJD Link sama dengan Kidex, Izham berkata, mengikut kajian kerajaan negeri, terdapat beberapa perbezaan dalam cadangan penjajaran PJD Link berbanding Kidex. Beliau tidak menghuraikan lebih lanjut.

Pada 17 Mac, Izham di sidang DUN berkata kerajaan persekutuan dalam peringkat akhir merangka perjanjian konsesi dengan PJD Link selepas projek itu diluluskan oleh kabinet pada November.

Beliau mengulangi bahawa syarikat itu perlu membentangkan status dan hasil EIA, SIA dan TIA dalam pembentangan kedua kepada exco kerajaan negeri Selangor.

“Syarat ini telah ditetapkan oleh kerajaan negeri bagi mengelak perkara seperti isu tanah yang belum selesai yang membelenggu projek lebuh raya sedia ada serta bantahan penduduk setempat terhadap jajaran lebuh raya yang melalui kawasan perumahan.”

Tambahnya, mesyuarat kerajaan negeri pada 30 September antara lain telah menetapkan PJD Link dilaksanakan mengikut prosedur pemprosesan permohonan.

Ini, katanya, melalui rundingan di bawah Seksyen 20A, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

Memo bantahan kepada menteri besar

Sheikh berkata, pada 1 September tahun lalu, biro politik PKR telah mendapatkan penjelasan mengenai projek itu daripada Amirudin.

“Telah disahkan bahawa PJD Link adalah penjenamaan semula projek Kidex dan kelulusan itu belum diberikan untuk projek itu.”

Katanya, sekiranya kerajaan negeri masih terbuka dengan projek itu, penduduk akan menyerahkan memorandum bantahan.

“Kami akan memetik kenyataan September oleh biro politik PKR dan PH mengenai projek itu.

“Kami berharap dapat mengadakan pertemuan dengan menteri besar dan menjangkakan untuk menghantar memorandum pada akhir bulan atau awal bulan depan.”

Sheikh juga menambah bahawa mereka akan menghantar surat aduan mengenai perkara itu kepada majlis presiden PH.

Penduduk Petaling Jaya telah menentang projek mega itu sejak 2016, dan sebelum itu apabila projek lebuh raya itu dipanggil Kidex, berkata lebuh raya bertingkat itu akan merentasi kawasan kejiranan mereka dan menjejaskan sehingga 1,000 rumah.

Penduduk berkata lebuh raya yang dicadangkan itu akan membawa aliran trafik yang besar, pelepasan karbon, pencemaran udara, serta gangguan bunyi dan penglihatan, yang akan menjejaskan penduduk.

Dilaporkan bahawa lebuh raya yang dicadangkan adalah di sepanjang Jalan Penchala dan Jalan Sultan (PJ Sentral), melintasi lebuh raya persekutuan ke arah Jalan Profesor Khoo Kay Khim (sebelum ini Jalan Semangat) dan Jalan Harapan, dan kemudian membelok ke barat di sepanjang Lebuhraya SPRINT ke arah Lebuhraya Baru Lembah Klang Plaza tol Damansara.

Portal hartanah PropertyGuru pada tahun 2016 telah mengetengahkan soalan daripada penduduk jika pemaju yang sama di belakang Kidex cuba meneruskan projek lebuh raya itu dengan dinamakan semula PJD Link. – 11 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen