Penduduk PJ gesa kerajaan Selangor telus status projek PJD Link


Noel Achariam

PENDUDUK Petaling Jaya mahu kerajaan Selangor mendedahkan pendiriannya mengenai cadangan lebuh raya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) sepanjang 34.3km.

Mereka mahu kerajaan negeri mengesahkan jika projek itu telah dibatalkan, dan jika ya, mengapa projek itu menunggu perjanjian konsesi seperti yang disebut dalam DUN Selangor baru-baru ini.

Mereka juga mempersoalkan kerajaan Selangor mengenai kenyataan Pakatan Harapan bertarikh 3 September tahun lalu bahawa tiada projek serupa dengan Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) yang mencetuskan kontroversi akan diteruskan semula.

Ketua gabungan bantahan PJD Link Sheikh Moqhtar Kadir berkata projek berkenaan juga harus dimansuhkan sama seperti kerajaan negeri menolak projek Kidex.

“Seperti kita dapat lihat kenyataan PH telah menolak Kidex dan mana-mana lebuh raya yang serupa dengannya.

“Jadi, kita ingin tahu kenapa PJD Link masih dibangkitkan di DUN Selangor,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sheikh berkata, pada 1 September tahun lalu, biro politik PKR meminta penjelasan mengenai PJD Link daripada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

“Telah disahkan bahawa PJD Link adalah penjenamaan semula projek Kidex dan tiada kelulusan diberikan untuk projek itu.

“Kemudian pada 3 September, PH mengeluarkan kenyataan media bersama bahawa PJD Link belum diluluskan kerajaan negeri.

“Kenyataan itu juga mengatakan bahawa Kidex atau mana-mana lebuh raya yang serupa tidak akan dihidupkan semula. Ini kami percaya merujuk kepada PJD Link.”

Kenyataan PH itu dikeluarkan Amirudin, Exco infrastruktur negeri Selangor Izham Hashim dan Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo.

Sheikh berkata mereka kemudiannya cuba mendapatkan penjelasan berhubung isu itu dengan Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran untuk bertanya tentang status di DUN.

“Apa yang mengejutkan maklum balas yang diberikan oleh Izham pada Disember ialah negeri itu terbuka kepada projek yang sama (PJD Link) walaupun pengumuman PH pada 3 September lalu.”

Beliau berkata pada 17 Mac tahun ini, di DUN Izham menjawab soalan Rajiv bahawa kerajaan persekutuan berada di peringkat akhir merangka perjanjian konsesi untuk PJD Link selepas disahkan oleh Kabinet pada November.

“Izham kemudian menyebut bahawa negeri ini masih belum menerima sebarang laporan penilaian kesan alam sekitar, sosial atau trafik atau laporan teknikal lain daripada syarikat konsesi.”

Sheikh berkata jika kerajaan negeri merujuk kepada kenyataan PH, projek itu sepatutnya dibatalkan.

“Kita nak tahu kenapa menteri besar tidak mengambil pendirian sama menolak projek seperti dalam kenyataan PH?

“Penduduk hairan dan sedang mendapatkan penjelasan daripada Amirudin mengapa mereka masih berbincang dan menjelaskan projek PJD Link di DUN?

“Apa yang kami ingin tahu ialah mengapa tiada muktamad, tiada penutupan berkaitan PJD Link?”

The Malaysian Insight sudah menghubungi Izham untuk penjelasan dan masih menunggu maklum balas daripada beliau.

Sheikh menambah sekiranya mereka (Amirudin, Izham dan Gobind) telah mengeluarkan kenyataan itu, maka mereka harus mematuhi janji dan komitmen mereka kepada warga PJ.

“Kami berharap Amirudin akan memberi penjelasan kepada penduduk menjelang Hari Raya nanti.

“Kami kini tidak pasti sama ada kerajaan negeri mematuhi kenyataan mereka.”

Sheikh berkata kerajaan negeri mesti menunaikan janjinya kepada penduduk.

Penduduk Petaling Jaya membantah cadangan pembinaan lebuh raya PJD Link sejak 2016.

Mereka mendakwa projek mega itu akan melalui kawasan kejiranan mereka dan menjejaskan sehingga 1,000 rumah.

Penduduk berkata lebuh raya yang dicadangkan itu akan membawa aliran trafik yang besar, pelepasan karbon, pencemaran udara, serta gangguan bunyi dan penglihatan, yang akan menjejaskan penduduk.

Dilaporkan lebuh raya yang dicadangkan adalah di sepanjang Jalan Penchala dan Jalan Sultan (PJ Sentral), melintasi lebuh raya persekutuan ke arah Jalan Profesor Khoo Kay Khim (sebelum ini Jalan Semangat) dan Jalan Harapan, dan kemudian membelok ke barat di sepanjang lebuh raya Sprint ke arah Lebuhraya baru Lembah Klang plaza tol Damansara. – 3 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen