Penduduk desak jawapan, projek PJD Link lulus atau tidak


Noel Achariam

PENDUDUK Petaling Jaya bengang dengan cadangan pembinaan projek lebuh raya PJD Link yang akan merentasi kawasan kejiranan mereka dan bakal menjejaskan sehingga 1,000 rumah.

Mereka mendesak jawapan kerajaan negeri Selangor berkenaan status projek itu, bertanya adakah ia diluluskan walaupun kerajaan negeri sebelum ini memberi jaminan ia tidak akan dilaksanakan.

Ini kerana pemaju projek itu kini diberi kebenaran untuk berhubung dengan penduduk.

Ketua gabungan bantahan PJD Link Sheikh Moqhtar Kadir berkata bantahan terhadap projek lebuh raya mega itu bermula sejak 2016.

“Kami menerima jaminan daripada bekas menteri besar Selangor Azmin Ali menerusi Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran iaitu selagi Pakatan Harapan (PH) tadbir negeri ini, kami tidak perlu risau tentang projek itu.

“Tetapi apa yang kami hendak tahu ialah adakah projek itu diluluskan atau tidak,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Moqhtar berkata pada September 2020, dalam satu mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dipengerusikan Menteri Besar Amiruddin Shaari, pemaju diberikan kebenaran untuk berhubung dengan penduduk.

Katanya, penduduk juga mahu tahu adakah Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), Penilaian Kesan Trafik (TIA) dan Penilaian Kesan Sosial (SIA) sudah dilengkapkan.

Beliau berkata lebuh raya berkenaan akan menyebabkan aliran trafik yang besar, pelepasan karbon, pencemaran, bunyi bising dan keadaan visual yang akan menjejaskan penduduk.

“Ketika kali terakhir perjumpaan dengan exco infrastruktur, Izham Hashim pada 5 Ogos, kami diberitahu tidak ada kelulusan diberikan kerajaan negeri untuk projek itu.”

Ketua gabungan bantahan PJD Link Sheikh Moqhtar Kadir berkata projek lebuh raya mega itu akan menjejaskan hampir 1,000 rumah penduduk di Petaling Jaya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 24 Ogos, 2021.

Pada 31 Julai, Star Metro melaporkan Pengarah Eksekutif PJD Link (M) Sdn Bhd Amrish Hari Narayanan dipetik sebagai berkata mereka menerima kelulusan daripada pihak berkuasa untuk meneruskan peringkat seterusnya perancangan penjajaran lebuh raya itu.

Bagaimanapun, beliau berkata ia bukan penjajaran akhir.

The Edge pada Ogos melaporkan lebuh raya yang dicadangkan itu akan membabitkan sepanjang Jalan Penchala dan Jalan Sultan (PJ Sentral) merentasi Lebuhraya Persekutuan ke arah Jalan Professor Khoo Kay Khim (sebelum ini dikenali sebagai Jalan Semangat) dan Jalan Harapan, kemudian pusing ke barat sepanjang Lebuhraya Sprint menuju plaza tol Damansara lebuh raya NKVE.

Amrish dipetik sebagai berkata beliau masih belum dapat menentukan kos projek itu hingga penjajaran berkenaan siap.

The Malaysian Insight sudah menghubungi PJD Link Sdn Bhd dan sedang menunggu respons mereka.

1,000 rumah terjejas

Perkembangan terbaru ini merisaukan penduduk.

Moqhtar berkata mereka terkejut apabila mengetahui daripada laporan berita akhbar berbahasa Cina yang projek itu sudah diluluskan oleh kerajaan persekutuan dan negeri.

“Kami mahu Izham dan Amiruddin beri jawapan terus sama ada PJD Link diluluskan atau tidak.

“Kenapa bina lebuh raya mega ke dalam kawasan perumahan yang sudah matang? Rumah akan diambil untuk projek ini dan itu yang paling penduduk takut.”

Beliau berkata sukar untuk menjangka berapa banyak isi rumah yang akan terjejas kerana penjajaran masih belum dimuktamadkan tetapi dianggarkan ia mungkin membabitkan antara 500 hingga 1,000 rumah.

Katanya, mereka akan menghantar surat akhir bulan ini kepada Amiruddin untuk menyatakan bantahan terhadap lebuh raya itu.

Sementara itu, Naib Pengerusi Persatuan Penduduk Seksyen 19 Thomas Ng berkata mereka tidak memerlukan satu lagi lebuh raya merentasi Petaling Jaya.

“PJD Link bukan apa yang kami mahu. Kami sudah pun dikelilingi dengan lebuh raya.

“Kami bukan menolak pembangunan, tetapi pembinaan lebuh raya bertingkat akan menjejaskan kehidupan penduduk di sini,” katanya.

Ng berharap pihak berkuasa dapat mengkaji projek itu dan memberikan penjelasan tentang apa sebenarnya berlaku dengan projek berkenaan. – 24 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen