Pemaju lebuh raya Selangor belum kemuka laporan untuk PJD Link, kata exco


Alfian Z.M. Tahir

PEMAJU Lebuhraya Bertingkat Penyuraian Petaling Jaya (PJD Link) mesti mengemukakan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Penilaian Kesan Sosial (SIA) dan Penilaian Kesan Trafik (TIA) sebelum sebarang kelulusan ke atas projek itu boleh dibuat, kata Izham Hashim.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian negeri itu berkata sehingga kini tiada laporan dikemukakan oleh pemaju PJD Link kepada kerajaan Selangor bagi memastikan projek itu berjalan.

“Pemaju perlu mengemukakan laporan EIA, SIA, dan TIA kepada majlis tindakan ekonomi (MTES) Negeri Selangor sebelum diluluskan dan sehingga kini, tiada laporan dikemukakan,” kata Izham.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof yang baru-baru ini berkata kelulusan yang diberikan kepada cadangan projek PJD Link tertakluk kepada rundingan lanjut.

Kementerian Fadillah berkata, projek itu telah diluluskan secara prinsip oleh kabinet pada 12 November 2017 dan perjanjian konsesi ditandatangani pada 5 April lalu, yang memerlukan pemaju memenuhi keperluan EIA, SIA, TIA sebelum pembinaan boleh dimulakan.

Kenyataan Fadillah itu mendapat kritikan hebat oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah yang mempersoalkan menteri berhubung “kelulusan” berkenaan.

“Kerajaan Selangor masih belum mendapat penilaian kesan trafik, sosial dan alam sekitar. Ini belum diserahkan kepada kerajaan negeri atau persekutuan, atau penduduk.

“Jadi, mengapa kerajaan persekutuan membuat keputusan untuk meluluskan lebuh raya itu?” Chin berkata pada bantahan terhadap projek berkenaan anjuran penduduk Petaling Jaya itu. 

Fadillah berkata pada 4 April, kerajaan mengalu-alukan pengambilalihan swasta syarikat konsesi untuk penstrukturan semula bagi mengurangkan beban kewangan kepada pembayar cukai.

Penduduk Petaling Jaya telah membantah cadangan laluan berkembar sepanjang 34.3km sejak 2016, serta penjenamaan Kidexnya, mengatakan lebuh raya bertingkat itu akan melalui kawasan kejiranan mereka dan menjejaskan sehingga 1,000 rumah.

Penduduk berkata lebuh raya yang dicadangkan itu akan membawa aliran trafik yang besar, pelepasan karbon, pencemaran udara, serta gangguan bunyi dan penglihatan.

Dilaporkan bahawa lebuh raya yang dicadangkan itu adalah untuk berjalan di sepanjang Jalan Penchala dan Jalan Sultan (PJ Sentral), melintasi Lebuhraya Persekutuan menghala ke Jalan Profesor Khoo Kay Khim (sebelum ini Jalan Semangat) dan Jalan Harapan, dan kemudian membelok ke barat di sepanjang Lebuhraya Sprint ke arah plaza tol Damansara Lebuhraya Baru Lembah Klang.

Portal hartanah PropertyGuru pada 2016 membangkitkan soalan daripada penduduk jika pemaju yang sama di belakang Kidex cuba meneruskan projek lebuh raya berkenaan dengan menamakan semula PJD Link. – 7 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen