‘Kelulusan’ apa, soal Maria Chin isu PJD Link


Noel Achariam

Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin turut serta dalam protes diadakan penduduk membantah projek PJD Link, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 2 Julai, 2022.

AHLI Parlimen Petaling Jaya Maria Chin hari ini membidas Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof susulan pengumuman kelulusan projek lebuhraya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link), sedangkan ia belum lagi mendapat lampu hijau daripada kerajaan negeri Selangor.

“Kerajaan negeri belum terima lagi laporan penilaian impak trafik, sosial dan alam sekitar. Ia masih belum dihantar kepada kerajaan negeri, persekutuan dan penduduk.

“Jadi, kenapa kerajaan persekutuan buat keputusan untuk meluluskan lebuh raya itu?,” kata Chin pada satu protes terhadap projek itu anjuran penduduk Petaling Jaya hari ini.

Dilaporkan projek PJD Link, Lebuh raya Putrajaya-Bangi (PBE) dan Lebuhraya Penyuraian Utara Kuala Lumpur (KL-Node) sudah mendapat kelulusan secara prinsip daripada kerajaan.

Fadilah sebelum ini berkata pada 4 April kerajaan mengalu-alukan pengambilalihan konsesi swasta bagi tujuan penstrukturan semula untuk mengurangkan beban kewangan kepada pembayar cukai.

Awal pagi ini, kira-kira 100 penduduk berkumpul berhampiran masjid Seksyen 14 Petaling Jaya untuk mengadakan protes terhadap projek lebuh raya mega itu.

Mereka membawa plakad tertera “Bantah PJDLink” dan menggesa pengguna jalan raya membunyikan hon sebagai tanda sokongan kepada protes mereka.

Chin berkata kerajaan persekutuan perlu memberikan penjelasan.

“Keadaan ini membuat penduduk di sini rasa tidak selamat dengan rumah mereka dan adakah ia akan diambil untuk membolehkan projek itu dilaksanakan.

“Masyarakat di sini sudah lama berada di sini. Ada undang-undang kecil menyatakan lebuh raya tidak boleh masuk ke pusat bandar tetapi kerajaan buat pengumuman seperti itu pula.” – 2 Julai, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen