KUMPULAN mangsa penipuan dalam talian menuntut Bank Negara menguatkuasa tanggungjawab lebih besar ke atas bank untuk melindungi pengguna dari menjadi mangsa jenayah itu.
Kumpulan diwakili Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR Lee Chean Chung itu menuntut demikian supaya pelanggan tidak dipertanggungjawabkan atas faktor di luar kawalan mereka.
Beliau menjelaskan, tanggungjawab tersebut perlu dipikul oleh bank kerana mangsa penipuan berkenaan pada masa ini tidak mendapat keadilan.
“Dari 2020 hingga Mei 2022, 68% dari jumlah kes jenayah komersil adalah penipuan online dan jangkaan kerugian sebanyak RM3.54 bilion.
“Malangnya, dalam kebanyakan kes, walaupun peralihan wang dijalankan tanpa kesedaran dan kebenaran mangsa, mereka tidak diberikan layanan yang adil oleh bank komersial.
“Pada masa yang sama, usaha PDRM dan BNM tidak mencapai matlamat, dan jelas kelihatan kes-kes penipuan kewangan terus meningkat secara mendadak,” katanya.
Tambahnya, mereka melihat kawal selia BNM terhadap bank komersial dalam kes penipuan terlalu lembap dan peranan bank komersial itu pula tidak sepadan dengan tanggungjawab mereka.

Selain itu, aduan kes itu pula tidak ditangani oleh pusat dan siasatan polis pula hanya tertumpu kepada keldai akaun – pemilik akaun yang digunakan untuk menyalurkan hasil penipuan, katanya.
Oleh itu, Bank Negara perlu menguatkuasakan tanggungjawab ke atas bank komersial atas kes transaksi tanpa kebenaran itu, tegas Lee lagi.
Ia antara empat tuntutan dalam memorandum Kumpulan Sokongan Mangsa-mangsa Penipuan Kewangan Online yang dikemukakan kepada ahli Parlimen pagi ini.
Lee berkata kumpulan mangsa itu mahu bank Malaysia mencontohi Bank OCBC Singapura yang sanggup membayar ganti rugi kepada golongan yang ditipu.
Beliau merujuk kenyataan OCBC Singapura pada 30 Jan lalu yang bersetuju membayar RM44.4 juta kepada 790 pelanggannya yang menjadi mangsa dalam penipuan online.
Selain itu, bank Malaysia juga perlu melaksana kod industri diamalkan institusi perbankan United Kingdom untuk memberi pampasan bagi transaksi tanpa kebenaran.
Polis dan penguatkuasa pula perlu menyemak akta semasa dengan peguam negara supaya dapat menyiasat dan melindungi pengguna dengan lebih cekap dan menyeluruh, katanya.
Lee berkata, kumpulan sokongan tersebut ditubuhkan dengan bantuan PKR pada 21 Julai untuk menangani kes penipuan menjadi makin berleluasa, katanya. – 26 Julai, 2022.
Komen