Najib kurang bijak perleceh isu 1MDB, kata badan anti rasuah


Muzliza Mustafa

Pengarah Pemantau Anti Rasuah (C4) Cynthia Gabriel berkata tindakan Najib yang cuba menutup isu 1MDB hanya akan menarik masyarakat untuk membaca berita media antarabangsa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mac, 2018. 

TINDAKAN memperlecehkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah bodoh dan tidak bertanggungjawab, kata kumpulan anti rasuah, selepas Perdana Menteri Najib Razak membandingkan isu berkenaan dengan krisis air di Selangor di Parlimen hari ini. 

Pengarah Pemantau Anti Rasuah (C4) Cynthia Gabriel berkata Najib perlu menjawab soalan berhubung 1MDB sekiranya beliau mahu mandat baru daripada rakyat pada pilihan raya akan datang. 

“Ia benar-benar bodoh, ia pernyataan yang sangat tidak bertanggungjawab, oleh perdana menteri. Masalah air adalah gangguan perkhidmatan dan 1MDB adalah mengenai RM50 bilion yang hilang melalui transaksi yang teruk dan kecurian secara terang terangan,” katanya. 

Najib hari ini enggan menjawab soalan di Parlimen mengenai kesan hutang 1MDB terhadap ekonomi. 

Sebaliknya, perdana menteri yang juga menteri kewangan, menyentuh mengenai isu krisis air yang melanda kebanyakan kawasan di Lembah Klang baru-baru ini.

Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) meminta Najib menjelaskan sama ada hutang 1MDB membawa kepada peningkatan bayaran faedah Malaysia, yang berjumlah 12.5% daripada jumlah pendapatan negara pada 2016. 

“Krisis air di Selangor lebih kritikal,” jawab Najib.

Gabriel berjata Najib juga sepatutnya tidak cuba menutup isu 1MDB yang hanya akan membuatkan masyarakat di seluruh dunia membacanya menerusi media antarabangsa. 

“Saya berharap rakyat Malaysia boleh melihat skala besar rasuah 1MDB. Saya merasakan lebih banyak lagi akan berlaku memandangkan pilihan raya semakin hampir,” kata Gabriel. 

Beliau juga berkata, mengancam media antarabangsa berhubung 1MDB dan menyifatkannya sebagai “berita palsu” turut memberikan gambaran buruk terhadap kepimpinannya.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Jailani Johari semalam memberi amaran kepada media asing untuk menghentikan penyebaran berita palsu terhadap 1MDB, yang terperangkap dalam skandal berhubung hutang dan dakwaan ketirisan.

Jailani berkata kementerian telah mengenal pasti beberapa portal berita yang cuba membangkitkan semula isu 1MDB susulan daripada rampasan kapal layar mewah, The Equanimity. 

Beliau menamakan portal Wall Street Journal (WSJ), The New York Times, The Economist, Australian Broadcasting Corporation, and the latest, MSNBC, memetik laporan Sinar Harian.

Sementara itu, jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 Jay Jay Denis bersetuju Najib sepatutnya menjawab soalan Azmin dengan lebih serius.

“Beliau tidak boleh beritahu rayat di Pahang atau Johor bahawa krisis air di Selangor lebih penting daripada 1MDB. Beliau sepatutnya menjadi PM kepada seluruh rakyat Malaysia, bukan menjadikan Parlimen sebagai medan politiknya,” kata Denis. 

Tambahnya, Najib sebagai menteri kewangan seatutnya menjawab soalan berhubung hutang negara termasuk 1MDB.

“Jika beliau tidak boleh jawab, siapa lagi yang boleh?” kata Denis. 

Menjelang pilihan raya umum, skandal 1MDB sekali lagi menjadi tumpuan selepas rampasan kapal The Equanimity, yang didakwa diberli menggunakan wang yang disalahgunakan daripada 1MDB. 

Kapal mewah terbabit dirampas minggu lalu di pulau Bali oleh pihak berkuasa Indonesia. 

Rampasan itu merupakan sebahagian daripada rampasan aset oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat terhadap barangan yang diperoleh atau dibeli menggunakan wang yang didakwa dicuri daripada 1MDB. – 12 Mac, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • kalu najib bandingkan kes air dgn berat badan kak rasanya ramai yg boleh terima

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan