Masalah air Selangor lebih kritikal daripada 1MDB, kata Najib


Melati A. Jalil

Perdana Menteri Najib Razak mengelak daripada menjawab soalan mengenai 1MDB yang diajukan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mac, 2018.

PERDANA Menteri Najib Razak hari ini enggan menjawab pertanyaan di Parlimen mengenai kesan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap ekonomi negara.

Sebaliknya, menteri kewangan itu mengalihkan perhatian kepada krisis air yang baru-baru ini melanda sebahagian besar Lembah Klang.

Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) meminta Najib menjelaskan sama ada hutang 1MDB menyebabkan peningkatan bayaran faedah Malaysia berjumlah 12.5% ​​berbanding pendapatan negara pada 2016.

“Masalah kemelut air di Selangor lebih kritikal,” jawab Najib yang mula kecoh dengan tindakan beberapa anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) cuba mempertahankan beliau.

Ini mendorong Azmin, yang juga menteri besar Selangor, membantah jawapannya dan mempersoalkan mengapa Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia membenarkan Najib (BN-Pekan) mengelak daripada menjawab soalan itu.

“Kalau ahli BN yakin dengan perdana menteri, berilah peluang perdana menteri jawab,” kata Azmin.

Abdul Azeez Rahim (BN-Baling) kemudian berkata, “Kami tidak yakin dengan Selangor. Mandi hari ini pun tak ada air.”

Othman Abdul (BN-Pendang), Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong), Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang) dan Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) turut bersuara, menegur Azmin kerana mencelah.

Pandikar kemudian mengingatkan ahli Parlimen supaya mematuhi perintah Dewan Rakyat.

Speaker itu berkata baik 1MDB mahupun krisis air, kedua-duanya merupakan isu kritikal.

“Kadang-kadang soalan mempunyai makna yang berbeza, begitu juga dengan jawapan yang mempunyai maksud berbeza. Itulah politik… asalkan ia tidak melanggar perintah tetap,” kata Pandikar.

Azmin memetik laporan Straits Times pada bulan lepas yang menyebut pembayaran faedah yang tinggi, pendapatan kerajaan yang rendah dan tindakan menyelamatkan syarikat-syarikat kerajaan telah mencetuskan kebimbangan terhadap krisis kewangan di Malaysia walaupun Najib menjamin jumlah pinjaman negara adalah dalam keadaan terkawal.

Pada Januari, Najib telah berkata bahawa jumlah hutang negara pada tahun lepas adalah sebanyak RM685.1 bilion berbanding negara-negara lain. Katanya, ini kerana jumlah itu hanya 50.9% daripada keluaran dalam kasar negara (KDNK). – 12 Mac, 2018.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Selepas melihat drama yang berlaku di Parlimen hari ini, kami sangat menentukan siapa yang kita mahu mengebumikan pada PRU14.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan

  • Gila ada mcm2 cara dan gila bohong itu cara najib

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan

  • Azmin Ali sepatutnya selesaikan isu masalah air yang melanda rakyat di sekitar Lembah Klang daripada nak cari kesalahan orang lain. Negeri sendiri pun bermasalah, sibuk nak jaga tepi kain orang lain. Kalau tak dapat selesaikan masalah, beri je pada orang yang lebih bertanggungjawab.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan