Pakatan mahu buktikan kajian Invoke di Kelantan salah


Zulkifli Sulong

Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Kamarudin Mohd Nor mengambil positif hasil laporan kajian Invoke dan menerimanya sebagai satu cabaran besar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mac, 2018.

PAKATAN Harapan (PH) Kelantan mengambil positif laporan kajian Invoke bahawa mereka hanya akan menang satu kerusi negeri sahaja di negeri itu dan berazam mahu membuktikan kajian itu tidak tepat.

“Kita ambilnya sebagai satu cabaran besar dan akan buktikan kajian Invoke ini salah,” kata Timbalan Pengerusi PH Kelantan, Kamarudin Mohd Nor.

Ketua penerangan Bersatu itu mengulas kajian Invoke Barisan Nasional (BN), buat pertama kali sejak pilihan raya umum (PRU) 1990, akan merampas Kelantan daripada PAS pada PRU14 nanti.

Menurut kajian yang dibentangkan pengasas Invoke Rafizi Ramli itu, BN akan mengalahkan PAS dan PH dengan menyapu bersih semua 14 kerusi Parlimen di Kelantan sementara PH hanya menang satu saja kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 45 kerusi yang dipertandingkan.

Invoke meramalkan PAS tidak akan mendapat sebarang kerusi di negeri yang sudah enam penggal di perintahnya iaitu sejak 1990 itu.

“Walaupun PAS akan kalah, tetapi tidak munasabah PAS tidak mendapat sebarang kerusi,” kata Mohamad Khir Zahri Abdul Ghani, timbalan pengarah pilihan raya Amanah Kelantan.

Bekas setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan itu bersetuju yang kerajaan PAS akan jatuh di Kelantan dalam pilihan raya akan datang berdasarkan apa yang berlaku di negeri itu sekarang, namun bukan sampai tiada langsung kerusi.

“Suasana yang ada sekarang macam suasana 1990 dahulu (ketika PAS mula menang di Kelantan).

“Dahulu, penyokong Umno senyap, enggan bercakap, akhirnya Umno jatuh.

“Sekarang penyokong Umno senyap, penyokong PAS sebelum ini juga senyap. Mereka senyap sebab mereka ada kepentingan peribadi. Angkanya saya anggarkan melebihi 30% daripada keseluruhan pengundi,” kata Khir yang menjangka ia adalah antara petanda positif untuk PH di Kelantan.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menolak kaji selidik Invoke dengan mengatakan ia hanya “kajian atas meja” dan tidak mewakili akar umbi.

Rafizi bagaimanapun menepis kritikan Hadi yang katanya mungkin tidak faham kaedah tinjauan yang dilakukan oleh Invoke yang melibatkan data terkumpul daripada 500,000 pengundi daripada pelbagai sektor masyarakat.

PAS dengan kerjasama Parti Melayu Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah berjaya merampas Kelantan pada PRU 1990 dengan kemenangan 45-0 apabila kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Umno jatuh ke tangan PAS dan Semangat 46.

“Saya menjangkakan PAS hanya akan menang tidak sampai 10 kerusi DUN,” kata Khir ekoran kejayaan PH menembusi banyak kubu PAS termasuk Pasir Pekan (kawasan Menteri Besar Ahmad Yakob) dan Panchor (kawasan Timbalan Menteri Besar Mohamad Amar Nik Abdullah).

Sementara itu, penganalisis dan pengkaji politik Kelantan, Dr Khairudin Damanhore tidak yakin dengan kajian Invoke kerana berdasarkan pengalamannya membuat kajian di negeri itu sejak sebelum PRU 2008, orang Kelantan menganggap kajian melalui telefon dibuat oleh pihak pemerintah.

“Kebanyakan responden akan menganggap ‘kerajaan’ yang tanya. Maka jawapannya pun seolah-olah untuk menyenang hati kerajaan,” katanya.

Kajian beliau sebaliknya mendapati sokongan orang Melayu kepada PAS dan PH sekarang hampir sama kuat di Kelantan iaitu 35% setiap gabungan manakala BN pula 30%.

Dalam kalangan orang Cina pula, beliau mensasarkan sokongan 85% untuk PH, 10% BN dan 5% untuk PAS.

“Jika angka ini tepat, saya mensasarkan PH akan menang 32 daripada 45 kerusi DUN di Kelantan,” kata beliau. – 12 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Invoke tak meliputi kajian menyeluruh pun. Mana data nak valid. Sasarlah kepada seluruh rakyat Malaysia termasuk Sabah & Sarawak untuk dapatkan data keseluruhan rakyat Malaysia. Barulah betul. Dan di situlah kita boleh tengok rakyat memihak kepada parti mana. Ada bran ke PH?

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan