PAS tolak hasil kajian kalah di Kelantan pada PRU14


Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa kajian dilakukan badan pemikir Invoke tidak mewakili akar umbi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mac, 2018.

PAS menolak kaji selidik dilakukan badan pemikir Invoke yang mendakwa parti Islam itu akan kalah di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Presidennya Abdul Hadi Awang berkata kajian dilakukan Invoke itu sekadar kajian atas meja dan tidak mewakili akar umbi.

“Dalam PAS sudah tentu kita ada kajian sendiri dan kajian kita bertapak pada akar umbi, berbanding hasil kaji selidik Invoke Malaysia yang tiada akar umbi,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Tambahnya, PAS turut mempunyai kajian sendiri dan ia lebih berfakta selain turut mengambil kira hasil kajian pihak lain untuk dibandingkan.

Sebelum ini Invoke menerusi kajian mereka mendedahkan BN akan menang bersih di Terengganu dan Kelantan selain mengekalkan kuasa di Pahang.

Kajian melibatkan 2,000 responden dibentangkan Pengarah Invoke Rafizi Ramli ketika forum “GE14 Prediction Forum: What The Big Data Tells Us?”

Kaji selidik turut mendedahkan PAS tidak akan menang sebarang kerusi persekutuan.

Invoke juga meramalkan Kedah, Perak dan Johor akan jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) selain mendapat kemenangan besar di Selangor dan Pulau Pinang dalam PRU14 berikutan tsunami Melayu. – 11 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Itu cuma kajian sahaja. Belum lagi keputusan akhir. Hanya PRU penentu segalanya. Sama-samalah keluar tunaikan tanggungjawab kita semua.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan