Nasib tandas OKU


Mohd Fudzail Mohd Nor

Golongan OKU tidak sewajarnya dipinggirkan dalam usaha pembangunan negara walau untuk kegunaan tandas.– Gambar Facebook, 22 Januari, 2023.

PADA hari Sabtu saya pergi ke majlis perkahwinan anak rakan di Putrajaya, agak awal dengan duduk dahulu sementara orang lain memenuhi jamuan. Terasa hendak buang air kecil saya pun terus ke bahagian belakang dewan untuk ke tandas.

Saya terkejut kerana hanya ada tandas VIP tetapi tiada tandas OKU selain tandas awam. Saya mencari tandas OKU tetapi hanya ada tandas VIP. Apakah OKU bukan VIP yang diberi kemudahan?

Harus diingat, golongan OKU merangkumi 15% daripada keseluruhan rakyat Malaysia. Bagi saya OKU tidak sewajarnya dipinggirkan dalam usaha pembangunan negara walau untuk kegunaan tandas. Biarpun berdepan halangan fizikal dan mental, golongan OKU berhak memainkan peranan dalam bidang sosial, ekonomi, politik dan sebagainya.

Golongan OKU memerlukan dasar dan persekitaran yang kondusif  agar peranan OKU tidak tersisih. Justeru usaha membela nasib OKU perlu dilipat gandakan bagi memastikan golongan OKU tidak terpinggir dari arus pembangunan dan pembinaan negara Malaysia termasuk untuk kegunaan tandas.

Faktor yang menghalang OKU di Malaysia mendapatkan peluang terlibat secara penuh dalam masyarakat termasuklah sikap negatif dan diskriminasi ekoran kurangnya kesedaran mengenai keupayaan golongan OKU.

Ada satu kes dimana ada sanggup menghina apabila meja tidak dibersihkan kerana pastinya ada pelanggan yang tidak maklum kerana menganggap ada pekerja yang akan mengemaskan tempat tersebut.

Lebih teruk  menyamakan orang yang tidak bertanggungjawab dengan OKU hanya kerana isu tidak membuang sampah. Timbul persoalan sama ada OKU memang dilihat sebagai pemalas atau ada maksud tersirat disebaliknya tuduhan.

Seorang pengguna Twitter, memuat naik satu gambar yang jelas menunjukkan peringatan namun menyoal sama ada perumpamaan seolah menghina golongan OKU begini diperlukan. Pengguna Twitter mengecam tindakan kedai tersebut kerana memburukkan satu golongan yang tidak bersalah dan tidak kena mengena.

Setakat tulis ‘Tolong buang selepas makan’ pun sudah cukup memadai dan tidak menambah ayat lain. Rasanya tiada ‘common sense’ dan mengikut perasaan yang melebihi daripada akal fikiran.

Berbalik pada Akta OKU 2008 sama ada boleh diimplementasi dan dikuatkuasakan, kita perlu semak dan imbang undang-undang amat penting agar pindaan akta itu disegerakan seiring peredaran zaman. Perkara ini mudah, kita punya negara dan semua negara bergerak berdasarkan undang-undang. Mana-mana akta tidak memberi kesan sekiranya tiada semak dan imbang.

Pindaan akta amat penting bagi melindungi golongan OKU daripada ancaman pihak tidak bertanggungjawab dan pelaku seharusnya diberikan hukuman setimpal. Jika ada individu menyakiti atau menyusahkan OKU, maka akta itu perlu mengenakan hukuman setimpal kepada mereka yang menyakiti golongan OKU.

Diharapkan perdana menteri mengambil berat dan jika hendak tahu semua maklumat sahih dan tepat, jawatankuasa yang perlu ditubuhkan perlu membabitkan mereka yang faham keadaan atau masalah golongan OKU. Jawatankuasa itu seharusnya diwakili mereka yang ada kepakaran dan pengkhususan.

Kerajaan perlu mencipta sebuah platform khas mesra OKU bagi memudahkan urusan golongan OKU yang mudah diakses dan membolehkan untuk menyuarakan masalah dengan cara yang betul tanpa perlu pergi banyak tempat.

Sepatutnya lebih banyak peluang pekerjaan diberikan kepada golongan OKU dan diskriminasi terhadap OKU dihentikan.  Diberi hak sama seperti orang lain termasuk peluang pekerjaan atas dasar kebolehan dan kepakaran, aksesibiliti, komunikasi serta informasi mesra OKU juga dipertingkatkan.

Golongan yang menyalahgunakan kemudahan dan mempersenda OKU harus didenda dan dikenakan tindakan undang-undang yang setimpal. Diskriminasi perlu dihentikan dengan kemudahan perumahan untuk golongan OKU perlu diperbanyakkan.

Begitu juga dengan  pelajar OKU yang meluahkan perasaan dan keresahan di sebalik kemudahan yang disediakan. Dalam serba kekurangan, pelajar OKU berjaya menjejakkan kaki ke menara gading untuk membantu keluarga yang banyak berkorban demi masa depan mereka untuk mencapai cita-cita.

Ada pula yang melabelkan pelajar OKU sebagai menyusahkan sewaktu meminta bantuan dari pihak universiti dan kolej. Bantuan kewangan OKU sepatutnya diberikan namun lambat masuk sehingga pelajar OKU terpaksa mengikat perut dan yuran tersangkut.

Sepupu saya mempunyai anak OKU dengan kerusi roda memberitahu sekolah tidak menggalakkan untuk belajar di sekolah kerana tiada tandas untuk OKU. Sekolah menyuruh untuk anak sepupu saya menahan dari buang air kecil atau besar selama berada di sekolah. Ini sungguh mengaibkan.

Sepatutnya lebih banyak peluang pekerjaan harus diberikan kepada golongan OKU bagi meningkatkan taraf hidup tetapi kebanyakan OKU sukar mendapat pekerjaan disebabkan masalah fizikal. Dengan majikan pandang macam golongan yang menyusahkan dan menyukarkan. Namun tidak semua begitu, ada OKU memang fokus dan mampu berikan yang terbaik untuk majikan.

Masih ramai yang tidak diterima bekerja walau ada yang memiliki ijazah sarjana muda dan lanjutan dari segi pendidikan dinafikan peluang. Diharap dapat memberi  ruang dan peluang kepada OKU yang ada kelayakan untuk menjawat jawatan walau dalam kerajaan.  

Data golongan OKU perlu dikemaskini dari semasa ke semasa supaya pihak berwajib mengetahui dan meneliti keperluan serta bantuan yang sepatutnya diberikan. Namun kebanyakan data hanya tangkap muat.

Jika tiada data rasanya tidak tahu ada berapa peringkat yang memerlukan dan adakah bantuan itu sampai kepada golongan sasar dengan selamat.

Dalam persoalan tandas untuk OKU perlu melihat keperluan dan reka bentuk terutamanya OKU fizikal disebabkan mereka mempunyai limitasi pergerakan dan memerlukan ruang yang besar di dalam tandas.

Menurut pakar di Facebook, OKU yang menggunakan kerusi roda, yang menggunakan tongkat dan seumpamanya sudah pastilah agak sukar bagi mereka menggunakan tandas biasa kerana rekabentuk tandas biasa agak sempit serta tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan dan keselesaan untuk OKU.


Berbeza dengan tandas biasa, kebiasaannya tandas OKU direka khas dengan ruang yang agak besar serta dilengkapi dengan beberapa binaan tambahan seperti grab bar, hand railing, penggera keselamatan dan lain-lain lagi. Ciri-ciri tambahan ini adalah memudahkan OKU fizikal untuk pemindahan dari tempat duduk ke ruang mangkuk tandas.

Manakala ‘grab bar’ pula sebagai bantuan untuk yang mempunyai kesukaran bangun dengan sendiri dari mangkuk tandas.

Ruang yang agak besar untuk tandas OKU penting agar pergerakan OKU menjadi mudah dan tidak terhalang oleh sinki, mangkuk tandas. Adakalanya penjaga OKU membantu di dalam tandas agar mereka dapat menggunakan fasiliti ini

Jabatan Standard Malaysia membangunkan MS1184:2014 - Code of practice sebagai panduan bagi memastikan semua bangunan yang boleh diakses oleh orang awam dilengkapi dengan kemudahan akses bagi semua golongan masyarakat termasuk OKU.

Secara khususnya untuk tandas OKU, beberapa panduan ditetapkan dengan ciri khusus agar menepati piawaian reka bentuk sejagat

Antara ciri tersebut adalah:
1) Pintu tandas harus dibuka ke arah luar, dengan lebar tanpa halangan minimum 800 mm. Jika pintu dibuka ke arah dalam,maka hendaklah ada satu cara untuk membuka pintu atau mengeluarkannya dari luar.
Adalah disyorkan untuk menggunakan pintu gelongsor. Kunci pintu yang mudah dibuka dari luar jika berlaku kecemasan dan mudah digunakan oleh pengguna OKU.
2) Lantai tidak licin.
3) Tandas awam mempunyai ruang yang minimum 1700mm x 2200mm (P x L) untuk pengguna kerusi roda keluar dan masuk.
4) Keperluan bagi mangkuk tandas:
a) Mangkuk tandas bercirikan spesifikasi OKU (ketinggian 400mm hingga 480mm, jenis, warna, simbol) dan berada dalam keadaan selesa untuk pengguna kerusi roda;
b) Jarak minimum dari tepi tempat duduk tandas ke dinding belakang adalah antara 650 mm dan 800 mm.
c) Jarak minimum sudut mangkuk tandas ke dinding bersebelahan hendaklah 250 mm. Jarak minimum dari garis tengah sudut tandas ke dinding bersebelahan hendaklah 450 mm.
5) Rel Pemegang (Grab Rails) di kedua- dua sisi hendaklah disediakan pada jarak antara 300 mm hingga 350 mm dari mangkuk tandas. Jarak minimum dari dinding hendaklah 40 mm.
6) Jika dinding di tepi tandas, rel pemegang mendatar hendaklah disediakan pada ketinggian 200 mm hingga 300 mm di atas tempat mangkuk tandas, dan rel pemegang menegak dipasang pada ketinggian 1700 mm dari lantai.

Piawaian dan ciri khusus tandas OKU ini direka khas kerana berdasarkan keperluan dan keupayaan khas golongan OKU khususnya yang OKU fizikal yang mempunyai limitasi pergerakan yang berbeza dengan orang lain. Pentingnya tandas ini tidak disalahgunakan oleh masyarakat awam sebagai menghormati hak-hak dan keperluan OKU sebagaimana yang termaktub dalam Akta OKU 2008 dan undang-undang Malaysia.

Tandas OKU antara kemudahan yang selalu di salahgunakan oleh orang ramai. Sama alasan iaitu “hanya sekejap sahaja”, “tiada orang guna”, “tandas oku ni luas cukup lapang”. Bila ramai salah guna,  pembersih pula terpaksa kunci tandas dan ini menyusahkan OKU pula.

Ada sebab juga tandas OKU direka dengan saiz yang sedikit besar dan dilengkapi dengan beberapa kemudahan seperti ‘grab bar’ dan seumpamanya. Ini bagi memudahkan kerusi roda bergerak secara efektif di dalam tandas OKU.

Fungsi ‘grab bar’ atau ‘flip bar’ pula bertujuan untuk berpaut dan pindah ke mangkuk tandas.
Paling penting jangan sesekali menjadikan tandas OKU sebagai tempat merokok, suatu perbuatan paling jijik dan hina sekali.

Namun dalam kerajaan memberi penekanan kepada aspek kebersihan, penyediaan kemudahan mesra OKU bagai dilupakan sehingga menimbulkan keluhan kepada golongan OKU setiap kali menggunakan tandas awam.

Kebanyakan tandas awam  masih tidak mesra OKU selain tahap kebersihannya yang masih tidak memuaskan. Sukar bagi golongan OKU untuk menggunakan tandas awam kerana ia tidak memenuhi spesifikasi OKU yang bukan hanya terdiri daripada golongan cacat penglihatan dan buta, tetapi kecacatan fizikal memerlukan mereka bergerak menggunakan bantuan kerusi roda.

Kualiti tandas awam  masih kurang memuaskan, selain masih kotor, ruang tandas juga sempit menyukar pergerakan mereka yang menggunakan kerusi roda ditambah tiada tanda khas untuk OKU amat menyukarkan.

Bagi yang cacat penglihatan pula ragu-ragu untuk menggunakan tandas awam kerana bau busuk yang kuat membawa makna tandas itu kotor. Apa yang ditakuti ialah terpijak benda yang kotor sebab ramai mereka yang mengalami cacat penglihatan tidak boleh melihat sepenuhnya.

Ada tandas awam mempunyai tahap kebersihan yang memuaskan tetapi ia tetap tidak mempunyai kemudahan bagi OKU menggunakannya, antaranya tiada laluan khas untuk pengguna kerusi roda dan pemegang khas di dalam tandas itu sendiri.

Purata mementingkan perkhidmatan ditawarkan kepada golongan normal dan pelancong asing, mereka tidak seharusnya mengabaikan keperluan OKU serta berkeperluan khas.

Kerajaan seharusnya membina sekurang-kurangnya satu tandas awam khas untuk OKU di bandar-bandar utama bagi kemudahan golongan OKU.

Terdapat beberapa tandas awam yang tahap kebersihannya adalah memuaskan tetapi tidak menyediakan kemudahan untuk OKU antaranya laluan pengguna kerusi roda, pemegang khas di dalam tandas dan ruang yang agak sempit.

Begitu pun Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan perpaduan dipimpinnya akan terus memberi fokus kepada usaha memantapkan dan memperkasakan OKU melalui kebijaksanaan yang tuntas.

Beliau berkata, meskipun diuji dengan halangan fizikal dan mental, golongan OKU seharusnya diberi peluang menyumbang keringat serta buah fikiran dalam pelbagai lapangan. Diskriminasi terhadap golongan itu dalam pelbagai bidang mesti dihentikan, sebaliknya segala upaya mesti dirangkul untuk membela rakyat terutama kumpulan istimewa itu.

Namun saya sebagai OKU terus berharap kemudahan disediakan terutama untuk bas, LRT, MRT, monorel, kereta api, lapangan terbang yang selalu dikunjungi. Pada tahun 2023, sekurang-kurangnya Malaysia menjadi sebuah negara maju yang menghormati OKU dengan kemudahan, bukan menganaktirikan golongan ini. – 22 Januari, 2023.

* Mohd Fudzail Mohd Nor pernah bermastautin di UAE, Arab Saudi dan New Zealand. Dia pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan lebih 31 buah judul buku dan pemenang lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia,11 Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Hadiah Novel Berita Harian, Hadiah Cerpen Selangor, Terengganu, Johor dan lain . Dia kini menjadi OKU setelah diserang angin ahmar serta pengarah e-Dompet Nigeria dan penerbitan sendiri.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen