Air India didenda AS$37,000 gagal urus isu lelaki kencing penumpang wanita


Eksekutif kanan bank AS, Shankar Mishra didakwa kencing ke atas tubuh wanita berusia 72 tahun yang duduk di kelas perniagaan dalam penerbangan pada 26 November dari New York ke New Delhi. – Gambar AFP, 21 Januari, 2023.

AIR INDIA didenda AS$37,000 kerana gagal menguruskan insiden seorang eksekutif kanan bank Amerika Syarikat (AS) yang mabuk dituduh membuang air kecil pada tubuh penumpang wanita, lapor media India.

Lelaki terbabit didakwa kencing ke atas tubuh wanita berusia 72 tahun yang duduk di kelas perniagaan ketika dalam penerbangan pada 26 November dari New York ke New Delhi.

Direktorat Jeneral Penerbangan Awam India juga mendenda pengarah perkhidmatan dalam penerbangan Air India sebanyak 300,000 rupee sebagai tambahan kepada penalti tiga juta rupee (AS$37,000), demikian menurut laporan pada Jumaat dan semalam.

Lesen juruterbang penerbangan itu juga digantung selama tiga bulan kerana “gagal melaksanakan tugasnya” untuk memastikan keselamatan dan disiplin.

Ketika kejadian, Shankar Mishra, dibenarkan turun seperti biasa apabila pesawat itu mendarat di India dan tiada sebarang tindakan diambil.

Wanita itu bagaimanapun membuat aduan dan, selepas cerita itu dilaporkan secara meluas dalam media India, polis menahan Mishra beberapa minggu kemudian selepas dia menghilangkan diri dan dilaporkan mematikan telefonnya.

Bank AS Wells Fargo turut memecatnya daripada tugas sebagai naib presiden operasi di India selepas dakwaan “amat mengganggu”.

Air India berdepan kritikan teruk kerana gagal mengendalikan aduan wanita itu dan ketua eksekutif syarikat penerbangan tersebut terpaksa mengeluarkan permohonan maaf.

“Air India mengakui kami boleh mengendalikan perkara ini dengan lebih baik, baik di udara mahupun di darat dan komited untuk mengambil tindakan,” kata ketua eksekutif Campbell Wilson. – AFP, 21 Januari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen