Air India kendali 3 penerbangan bawa pulang warga India dari Ukraine


Air India mengendalikan tiga penerbangan ke Ukraine minggu depan bagi membawa pulang rakyat India, kata pegawai. – Gambar EPA, 19 Februari, 2022.

SYARIKAT penerbangan India, Air India akan mengendalikan tiga penerbangan ke Ukraine minggu depan untuk membawa pulang rakyat India yang berhasrat meninggalkan negara Eropah itu, menurut seorang pegawai syarikat penerbangan pada Sabtu.

“Tiga penerbangan Air India antara India-Ukraine (Lapangan Terbang Antarabangsa Boryspil) dijadual bertolak pada 22, 24 dan 26 Februari.

“Tempahan dibuka menerusi pejabat operasi Air India, laman web, pusat panggilan dan ejen pelancongan yang sah,” menurut ciapan syarikat itu.

Seorang pegawai di Kementerian Hal Ehwal Luar (MEA) berkata, perkara itu hanyalah “peningkatan dalam bilangan penerbangan komersial,” bukan operasi pemindahan, lapor agensi berita Xinhua.

Jurucakap MEA Arindam Bagchi berkata pada Khamis, tiada rancangan memindahkan rakyatnya dengan segera.

Beliau berkata, kedutaan India di Ukraine masih beroperasi seperti biasa.

“Tiada rancangan pemindahan segera, bermakna tiada penerbangan khas,” kata Bagchi ketika sesi taklimat media di New Delhi.

Syarikat penerbangan India digalakkan mengendali penerbangan sewa khas antara India dan Ukraine, kata jurucakap itu.

Dilaporkan Moscow menempatkan lebih 100,000 tentera berhampiran Ukraine, menimbulkan kebimbangan Kremlin sedang merancang serangan terhadap bekas jirannya dalam Soviet Union.

Moscow menafikan dakwaan itu, sebaliknya, menuduh negara Barat menjejaskan keselamatannya melalui peluasan keanggotaan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di sempadan negaranya.

Rusia turut mengeluarkan senarai tuntutan keselamatan kepada Barat, termasuk menarik semula penempatan anggota tentera dari beberapa negara bekas Soviet serta meminta jaminan agar negara itu tidak menyertai Nato. – Bernama, 19 Februari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen