Tata Group ambil semula Air India daripada kerajaan


Air India membuka lembaran baharu sebagai sebahagian daripada Tata Group. – Gambar EPA, 28 Januari, 2022.

KONGLOMERAT terkemuka India Tata Group pada Khamis mengambil alih semula Air India, syarikat penerbangan yang dimulakan oleh keluarga Tata yang mengasaskan konglomerat itu sebelum ia diletakkan di bawah kendalian negara.

Berikutan pengambilalihan itu, Air India Limited, syarikat penerbangan tambang murah Air India Express dan kepentingan syarikat penerbangan itu dalam syarikat perkhidmatan kargo dan pengendalian darat AI SATS telah menjadi sebahagian daripada Tata Group.

“Air India membuka lembaran baharu sebagai sebahagian daripada Tata Group. Dua nama ikonik bersatu untuk memulakan perjalanan yang cemerlang,” ciap Air India di Twitter.

“Ketibaan anda amat ditunggu-tunggu,” kata Tata Group dalam catatan media sosial, merujuk kepada syarikat penerbangan yang dilancarkan sebagai Tata Airlines pada 1932 oleh mendiang Jehangir Ratanji Dadabhoy Tata, lebih dikenali sebagai J.R.D. Tata dan dianggap bapa industri penerbangan India.

Ia dijadikan syarikat milik kerajaan India pada 1953.

Tata Sons, syarikat induk kumpulan itu, memenangi bidaan pada Oktober tahun lalu untuk mengambil alih Air India, yang bukan sahaja mengalami kerugian kewangan tahunan yang besar tetapi sering dikritik kerana kualiti perkhidmatannya.

Ia mengemukakan bidaan yang dimenangi melalui anak syarikat milik penuhnya Talace Pvt Ltd.

Cubaan awal kerajaan untuk menjual syarikat penerbangan itu pada 2018 gagal mendapat pembida.

Selepas pengambilalihan Air India dalam perjanjian ekuiti dan hutang AS$2.4 bilion, Tata Sons kini mempunyai tiga syarikat penerbangan dalam portfolionya.

Ia memiliki 83.67% AirAsia India, dengan bakinya dipegang oleh AirAsia Berhad Malaysia.

Tata Sons memiliki 51% dalam syarikat penerbangan Vistara, yang dimulakan pada 2013 dengan kerjasama Singapore Airlines.

Urus niaga pelupusan strategik Air India telah selesai dengan kerajaan menerima pertimbangan sebanyak 27 bilion rupee (kira-kira AS$360 juta) dan Tata Group mengambil alih hutang 153 bilion rupee syarikat penerbangan itu, kata Kementerian Kewangan pada Khamis.

“Kami sangat gembira mendapat semula Air India dalam Tata Group dan komited untuk menjadikannya syarikat penerbangan bertaraf dunia,” kata Pengerusi Tata Sons N. Chandrasekaran dalam satu kenyataan.

Chandrasekaran sebelum itu menghubungi Perdana Menteri India Narendra Modi dan melawat pejabat syarikat penerbangan itu di Delhi. – Bernama, 27 Januari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen